Monday, November 8, 2010

Contoh Karya Transformasi Seni Tradisi

Dari Topeng Tradisi ke Topeng Besi ( tulisan dalam katlog sempena pameran Topeng Borneo, solo Mohd Shaari Salleh,sabah)
.by Roslizakaria Pengarca on Friday, November 5, 2010 at 9:18am.

SATU

Setelah hampir 12 tahun, tiba-tiba satu pagi dibulan oktober 2009 (tarikhnya aku lupa) telefon aku dipenuhi satu suara yang agak asing dari telinga aku. Selanga bahasanya agak berlainan, puas aku cuba mengingati siapa empunya suara namun gagal, aku masih kurang berkeyakinan apabila suara itu memperkenalkan dirinya… dia pernah mengenali aku malahan junior ketika menuntut di Shah Alam. pernah berkarya di bengkel aku di Kota Tinggi, akhirnya aku begitu yakin suara itu memang sahabat aku Saari Salleh.

Seorang guru, seorang pengarca, bertubuh kecil namun mampu mengolah besi dan kayu menjadi arca, malahan aku yakin kesenimanannya telah melahirkan ramai insan-insan pelajar yang mampu mengingati ilmu titik ,garis, bentuk dan nahu-nahu visual yang diajarnya.



Tajuk : Hudoq Mask,Bahau Dayak (Naling Ledang)
Saiz; 67cm x 84cm 18cm
Bahan: Besi dan kayu
Tahun : 2010


DUA

Sesorang tidak boleh melawat sebuah galeri kontemporari tanpa membawa pengalaman yang selari dengan karya-karya yang dipamerkan didalam galeri tersebut. (Wartenberg. 2007) Kenyataan yang sedemikian harus mengundang sedikit rasa takut bagi sesorang yang ingin membuat aprisasi sesuatu karya yang asing bagi diri mereka. Lantaran itu aku agak ragu-ragu bila diminta oleh Saari untuk menulis dan mengulas tentang karya-karya terbarunya. Dengan sedikit maklumat yang di emailkan, berupa gambar-gambar Jpg. karya arca dan catannya. Aku cuba melihat ,meneliti dan mengamati arca yang sifatnya 3 dimensi tetapi dalam perpesketif 2 dimensi, suasana ini sudah cukup untuk membataskan pemahaman aku tentang karya Saari.

‘Sculpture is an art form which deals directly with real space’ (Ragans 2001),maka jika diambil kira kenyataan Ragans , untuk mengamati sesebuah arca juga harus berada bersama arca tersebut dalam ruang yang nyata demi mendapatkan ‘sense of touch’,

Karya arca harus disentuh dan dihidu baunya, ‘sense of touching’ menjadi parameter untuk menilai sesebuah arca, lalu karya-karya terbaru Saari tidak dapat ku sentuh dengan deria sentuhan ku, menyebabkan aku kehilangan sedikit nikmat 3dimensi yang membataskan tulisan ini.




Tajuk: Monkey Mask
Saiz: 39cm x 81cm x 16cm
Bahan: Besi
Tahun:2010

TIGA

Seperti yang sering dijelaskan oleh sejarawan seni Malaysia ‘Arca’ merupakan suatu istilah barat yang amat baru memasuki dunia seni rupa Malaysia.(Tengku Sabri 1994) Istilah Arca yang di terjemahkan secara terus dari perkataan Sculpture menjadi satu garis pemisah dalam kesenian Melayu. Sedangkan menurut Siti Zainon (1986) telah wujud warisan awal yang dapat dikesan sebagai seni rupa melayu yang bersifat tiga dimensi antaranya bentuk tembikar Neolitik dan batu tanda, ukiran kayu masyarakat Negrito, Mahmeri, Jah Hut, Deutro, Iban, Bidayuh dan Kadazan. Malahan Seniman Negara Syed Ahmad Jamal ( 1992) telah menjelaskan dalam bukunya Rupa dan Jiwa perihal Batu Pedang, Batu Sudu dan Batu Kemudi yang ditemui di Pengkalan Kempas adalah satu hasilan yang unik dan menarik yang boleh dikategorikan sebagai arca tradisional Melayu. Namun begitu Arca sebagai satu istilah moden juga harus diterima sebagai satu titik mula perkembangan seni moden bagi bentuk seni rupa 3 dimensi alam Melayu. Harus diakui kerja-kerja seni arca yang dikatakan semasa sebenarnya sudahpun diasaskan oleh masyarakat peribumi di Negara kita. Dalam konteks ini ramai pengarca Malaysia kini tampil dengan arca-arca Moden berbau tradisi . Saari adalah salah seorang darinya.



EMPAT

Karya-karya terkini Saari banyak bergerak dari pengamatan yang mendalam kepada kewujudan arca-arca tradisional tadi. Topeng-topeng yang digunakan oleh masyarakat Kenyah, Bidayuh dan Dayak ketika proses memulakan tanaman padi sehinggalah pesta menuai padi. Dalam masyarakat tradisi tersebut, penggunaan topeng lebih terarah kepada persoalan semangat dan kepercayaan animisme. Namun sebagai seorang pengarca Saari menggunakan deria lihat, deria rasa dan deria sentuh untuk mengolah dan mentasfir topeng-topeng tradisi kepada topeng-topeng besi kontemporari. Kepakaran Saari dalam mengendalikan bahan besi serta bahan jumpaan tidak dapat dinafikan, semenjak mengenal beliau lewat karya-karya yang terdahulu Saari sememangnya gemar menggunakan bahan besi serta bahan campuran. Karya-karya awal dengan siri ikan amat mengkagumkan terutamanya bila berbicara soal teknik dan bahan yang digunakan. Karya-karya dalam siri ikan itu mendatangkan kesan penuh dramatik apabila disusun atur bersama lukisan beliau yang bersakala besar, apatah lagi ianya menjadi pameran tetap di kediaman artis tersohor Raja Azhar Idris (salah satu karya beliau yang saya temui). Merujuk kembali kepada karya-karya terkini Saari, arca dinding yang bermain dengan imej-imej topeng kelihatan amat menarik dan wujud unsur-unsur surelis didalamnya. Pemilihan serta pengolahan bahan yang teliti dapat dirasai dalam karya-karya beliau, sedikit rasa humor dan kejenakaan wujud apabila melihat untuk pertama kalinya karya topeng Saari. Bahan besi yang dikilatkan meninggalkan kesan warna semulajadi sekaligus menyelerahkan karektor bahan itu sendiri. Kegemaran Saari menggunakan bahagian-bahagian dalam mesin atau enjin jelas kelihatan dengan mata dan hidung topeng-topeng besinya wujud bahan-bahan tersebut.



Tidak seperti mana seri topeng oleh Yusuf Gani yang ingin membicarakan soal penyamaran,penipuan dan kepura-puraan dalam karya-karya beliau, Saari turut tampil dengan karya-karya catan yang bersekala besar Ritual Mask ii (Planting Festival), namun bicara Saari masih berlegar tentang ritual. Kekuatan ‘formal aspect’ Saari turut ketara dalam karya-karya catan beliau, mainan garisan bagai susunan besi-besi dalam arca beliau, warna-warna yang gelap dan suram seolah-olah warna-warna semulajadi besi yang dikilatkan , manakala tektura-tektura yang wujud dalam karya catannya bukan hanya memberi rasa kepada karya catannya malahan itulah reperesentasi kesan-kesan kimpalan di dalam arca-arcanya. Saya menyimpulkan karya-karya catan Saari sebagai satu luahan rasa kegembiraan seorang pengarca yang berjaya menguasi dunia 3 dimensi yang ingin dikongsi bersama penghayatnya dalam bentukan 2dimensi.


Tajuk: Crocodile Mask
Saiz: 61cm x 61cm x20cm
Bahan :Besi
Tahun :2010

KESIMPULAN

Seperti yang dijelaskan di awal tadi memerhati dan meneliti secara 2 dimensi karya-karya Arca Saari sememangnya tidak mendapat kepuasan untuk memperkatakannya maka tulisan ini tidaklah bersifat ‘3D’, saya hanya cuba membayangkan lebih dari yang dilihat, tambahan pula gambar-gambar JPGE yang diterima dalam saiz yang kecil, tak puas untuk menatapnya. Saya yakin (seperti yang telah dibincangkan bersama beliau) Saari perlu menawan deria lihat dan deria sentuh peminat-peminat seni di Kuala Lumpur, lantaran itu rancangan untuk mengadakan pameran bersama beliau di tahun 2010 memberi bermacam kemungkinan untuk saya lebih menikmati dan merasai arca-arca yang penuh kejutan dari Saari. Apa yang pasti, sebagai seorang guru Saari telah membuktikan kepada pelajar-pelajarnya ‘art’ itu bukan hanya harus diperkatakan semata-mata tetapi ianya harus diterjemahkan dalam bentuk karya yang wujud secara praktikalnya.



Syabas cikgu Saari anda telah membuktikannya.





Ditulis Oleh



Rosli Zakaria

Pensyarah kanan

Fakulti Seni Lukis & Seni Reka,

UiTM, Kampus Alor Gajah Melaka.











BIBILOGRAFI



Asas Kebudayaan dan Kesenian Melayu, UKM, Bangi (2008)



Baharudin Md Arus, 1996. Katlog Pameran Seni Arca: Persoalan Tradisi dan

Pemodenan. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

Ismail Zain, 1980, Seni dan Imajan, Kuala Lumpur: Muzium Seni Negara

Malaysia



Mencari Imej Malaysia Dialog Sastera, Seni Rupa, Seni Bina,Yayasan Kesenian Perak.(1998)



Ragans.R, 2000, Art Talk, USA: Glencoe/McGraw-Hill



Syed Ahmad Jamal, 1992. Rupa dan Jiwa, Dewan Bahasa Dan Pustaka. K.L



T.K.Sabapathy, 1976, Katlog pameran, A View Of Modern Sculpture In Malaysia,

Kuala Lumpur: National Art Gallery.



.

Friday, November 5, 2010

Soalan: Penggunaan media konvensional mempunyai batasan tertentu bagi menghasilkan perekaaan grafik berbanding dengan media elektronik. Bincangkan.

Sebelum menjawab soalan esei, perkara paling asas yang pelajar sering abaikan adalah menyenarai isi penting. Jadinya, sebelum cikgu menjawab soalan esei tersebut, cikgu akan menulis dahulu isi-isi yang cikgu akan bincangkan; semoga pelajar dapat belajar sesuatu di sini.

Pendahuluan:
-komponen perekaan grafik
-maksud media konvensional(m.k)
-maksug media elektronik (m.e)

Isi:
1. batasan masa. guna m.k makan masa lebih lama unt hasilkan -
2. batasan kos. kos m.k lebih mahal dalam j.masa lama.
3. batasan teknik dam skil. m.k perlukan kemahiran tinggi skil melukis dan mewarna.

(untuk setiap isi, pelajar beri huraian dan contoh)

Penutup:
m.e telah beri impak baru dalam industri kreatif.

Berdasarkan isi-isi yang cikgu senaraikan, cikgu harap pelajar dapat menjawab soalan di atas. Sebaik-baiknya beri 5 isi tetapi 3 isi, jika huraian dan contoh yang mantap, dah cukup.

Pelajar perlu banyak membaca penulisan seni. Di blog ini, cikgu ada memuatkan penulisan-penulisan seni di bawah label apresiasi seni dan kritikan seni. Di bawah Blog List RUJUKAN , cikgu buat pautan ke blog grafik
http://sifoo.com/ supaya pelajar lebih memahami proses grafik melalui media elektronik.

Tuesday, November 2, 2010

Perbincangan Kertas 1

Soalan: Terdapat hubungan timbal balik antara idea dengan teknologi dalam perkembangan dan penghasilan karya Seni Visual. Huraikan pernyataan ini dengan memberikan 3 contoh.

Jawapan cikgu:

Penghasilan karya Seni Visual dapat dibahagikan kepada pengkaryaan dan perekaaan. Pengkaryaan seperti penghasilan catan, arca dan cetakan berkait rapat dengan nilai makna manakala perekaan, contohnya Seni Grafik atau Reka Bentuk Teknologi amat mementingkan nilai fungsi. Idea merupakan faktor penting dalam penghasilan karya seni. Idea kreatif berperanan menterjemahkan maksud dan fungsi karya seni. Idea juga bukanlah milik mutlak seseorang pengkarya. Idea seseorang pengkarya boleh pula diperkembangkan lagi oleh pengkarya atau pereka yang lain supaya penghasilan kerja seni akan lebih pelbagai dan lebih kreatif.


Tidak dapat dinafikan bahawa perkembangan dan penghasilan pengkaryaan atau perekaan Seni Visual kini mempunyai hubungan timbal balik dengan dunia teknologi. Daripada proses penjanaan idea lagi, teknologi dapat memainkan peranan yang penting. Contohnya, seseorang pengkarya yang ingin menghasilkan sebuah catan, Teknologi Maklumat atau internet mmembolehkan pengkarya melihat idea-idea atau pengaruh karya artis-artis yang terdahulu. Beliau boleh mempelajari gaya atau stail yang dapat menterjemahkan ekspresi diri dan idea yang ingin disampaikan.

Melalui internet juga, mengkaji hal benda atau 'subject matter' menjadi lebih efisien. Bagi seseorang pereka, misalnya seorang pereka tekstil yang ingin menghasilkan rekaan bermotifkan bunga orkid; beliau tidak perlu lagi menghabiskan masa dan wang ringgit untuk ke Taman Orkid atau masuk ke dalam hutan untuk mencari jenis-jenis orkid yang unik dan luar biasa. Pereka tersebut hanya perlu mengadap komputer dan pelbagai gambar orkid dari pelbagai sudut dapat disaksikan. Dari situ, pereka dapat membuat lakaran-lakaran kajian bagi mendapatkan idea untuk motif rekaan yang dikehendaki.

Bagi seorang pereka grafik pula, idea rekaan dapat pula diterjemahkan dengan menggunakan perisian komputer grafik. Menghasilkan risalah atau kulit buku dan majalah menggunakan perisian komputer menjadikan kerja-kerja grafik lebih mudah, cepat dan kemas.

Teknologi juga membolehkan seseorang artis seni visual menghasilkan ciptaan lukisan maya benda-benda yang tidak pernah wujud di dunia. Contohnya, filem animasi seperti Avatar memerlukan idea yang hebat dengan skil melukis yang hebat juga bagi mewujudkan kesan visual yang realistik. Kerja-kerja melukis untuk filem animasi menjadi lebih mudah dengan adanya teknologi perisisan komputer dan teknologi maklumat.

Justeru, sama ada pengkarya atau pereka Seni Visual sepatutnya dapat memanfaatkan teknologi terkini bagi menghasilkan idea-idea kreatif yang hebat dan dapat menyuntik fungsi penghasilan seni ke dalam masyarakat.

Tuesday, October 26, 2010

BACAAN TAMBAHAN APRESIASI SENI

Catatan Perjalanan ke Al Zaytun (2): Padi Berbuah Emas, Berdaun Tembaga dan Berbatang Suasa

by Tsabri Ibrahim on Monday, September 27, 2010 at 2:05pm

Tumbuh berpunca

Punca itu rahsia

Naik tidak memijak kawan

Menikam tidak menerjah lawan

Tapi melingkar dengan mesra


Sebelum dan semasa kedatangan kuasa penjajah Barat di abad ke 14, rantau Tenggara Asia meriah dengan keberagaman budaya dan cara hidup kaum-kaum serta puak-puak yang mendiaminya. Semuanya berkembang mengikut citarasa masing-masing dari tali sejarah dan budaya yang panjang; dari kepercayaan animisme kepada pengaruh keIndiaan yang membawa faham Hinduisme dan Buddhisme yang menjelma antara lain di Lembah Bujang (300M) di Semenanjung Malaysia, Prambanan (850M) dan Borubudor (800M) di Jawa dan Angkor Wat (abad ke 12M) di Indochina, hinggalah disatukan dengan kedatangan Islam di sekitar abad ke 12 dan 13M. Keberagaman yang merata di segenap pelusok Tenggara Asia itu perlahan-lahan menyatu dalam aspirasi kemodenan yang dibawa Islam; tidak sedikit kita mendengar tentang Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Demak, dan juga lawatan Laksamana Cheng Ho diantara tahun-tahun 1405 – 1433M). Kita memang mempunyai sejarah dan kebudayaan yang panjang dan menarik.


Suatu ketika dalam perjalanan ke AZ, melintasi sempadan Malaysia – Singapura di Link Kedua, saya ditahan oleh pihak Imigresen Singapura gara-gara sebuah buku yang saya jadikan teman perjalanan. Buku itu berjudul 'Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam' oleh Abdul Rahman Abdullah (2000). Sebenarnya buku itu hanyalah sebuah buku sejarah, ia tidak mengandungi apa-apa seperti ideologi terorisme atau radikalisme Islam yang ketika itu hangat diperkatakan media. Pegawai Tionghua yang memeriksa saya itu memanggilkan kawan Melayunya dan ditunjukkan buku itu, dia rupa-rupanya kurang fasih berbahasa Melayu. Mereka bertanyakan apa pekerjaan saya, kemana arah dan tujuan perjalanan saya. Saya beritahu mereka saya adalah seorang artis senirupa, dalam perjalanan ke Indonesia untuk melawat teman-teman artis. Saya memasuki Singapura kerana ada temujanji dengan seorang teman di Singapore Art Museum. Mereka bertanya apa yang saya tahu tentang Al-Qaeda dan jaringannya di Tenggara Asia. Wah, saya agaknya disangka seorang teroris! Saya beritahu apa yang saya tahu serba sedikit; Al Qaeda – sebuah pertubuhan/pergerakan Islamis Sunni antarbangsa yang kerap melakukan aksi terror dan serangan militan seperti Peristiwa September Sebelas tahun 2001, diketuai oleh Osama bin Ladin. Di Tenggara Asia, Al Qaeda dikatakan mempunyai hubungan dengan Jemaah Islamiah, sebuah pergerakan militan rantau Tenggara Asia yang komited dengan penubuhan Daulah Islamiah di Tenggara Asia. Sempat juga saya bertanyakan mereka kembali – apa kaitan soalan-soalan itu dengan saya dan perjalanan saya ini? Security measures, sir. Thank you for your cooperation. Welcome to Singapore. Have a pleasant trip.


Membaca sejarah dan kebudayaan Tenggara Asia, terutamanya melalui kesusasteraan dan seni rupa, kita akan dapati ianya sarat dengan tanda-tanda, perlambangan, perumpamaan, bidalan dan kiasan yang diambil dari alam sekeliling/semulajadi. Kita akan menemui ada manusia yang lahir dari muntah sapi, dari buloh betung dan dari buih air yang berpusaran di sungai. Kita akan bertemu dengan seribu satu macam keperwiraan, kesaktian, kekebalan juga tentunya kehebatan jurus-jurus persilatan. Kita akan dapati sebuah bukit bercahaya kerana turunnya anak-anak raja dari kayangan. Kisah-kisah Wali Songgo sendiri tidak sunyi dari keajaiban kalau tidak pun kesaktian. Agak sukar untuk memahami kesemuanya jika kita tidak terdidik baik dalam cabang-cabang pengetahuan seperti antropologi, semiotika, estetika dan studi budaya (Cultural Studies). Kita dengan mudah boleh terdorong untuk mengikutinya sebagai kisah-kisah mitos, legenda atau khayalan untuk hiburan semata, atau barangkali juga mempercayainya bulat-bulat. Sampai sekarang pun masyarakat Tenggara Asia tidak sunyi dari cerita-cerita perbomohan, perdukunan dan hal-hal yang berbau mistik dan sihir.Kita tidak akan memahaminya tanpa kesaksamaan apresiasi – tanpa akal waras. Dan tanpa panduan atau pedoman yang mencerahkan.


Di sisi belakang Al Hayat ada sebuah bedok besar lengkap dengan tempat bergantungnya. Meski sudah tidak digunakan (mungkin kerana keadaannya yang sudah rosak), saya terkesan dengan gubahan ukiran yang terdapat padanya. Ukiran bertemakan sejenis flora itu sangat familiar dengan apa yang saya ketahui; ragam gubahannya adalah dari gaya Jawi, yang pernah saya pelajari dari Allahyarham ayahanda saya semasa remaja di Terengganu. Kata seorang teman, beduk itu adalah hadiah atau cenderahati dari Kepulauan Riau kepada AZ.


Hilir ke Teluk Karis

Mudek menengah kota

Memahat di dalam baris

Berkata dalam pusaka


Di awal makalah ini, ada pantun yang dijadikan rujukan, panduan atau aturan oleh para pengukir Melayu menggubah ukiran mereka yang rata-ratanya terilham dari tumbuhan dan flora yang ada di persekitaran dan sekeliling mereka;


Tumbuh berpunca; setiap yang tumbuh (baca: hidup) itu ada permulaanya – pengukir harus mengetahui mula kerjanya. Punca itu rahsia; rahsia itu adalah untuk dikenali, diketahui atau dipelajari – pengukir harus dapat menguasai pengetahuan, teknik dan bahan yang digunakan. Naik tidak memijak kawan; perkembangan dalam kehidupan (baca: perjuangan) sepantasnya dalam suasana yang penuh rasa hormat dan menghormati – pengukir harus menggubah ukirannya secara saksama atau keadaan seimbang. Menikam tidak menujah lawan; persaingan dalam apa sekali pun harus dalam keadaan sihat, tidak memperlekeh atau menyakitkan hati lawan – pengukir harus memastikan gubahannya tidak bercanggahan di antara bahagian-bahagianya. Tetapi melingkar dengan mesra; kehidupan ini sepatutnya penuh dengan kasih-sayang, perdamaian dan toleransi – pengukir harus memastikan gubahannya dapat menyuburkan rasa estetika khalayaknya.


Dan bedok di Al Hayat itu berbunyi terus – melantunkan citra perdamaian dan toleransi ke seluruh pelusuk Kepulauan Melayu. Atlas kesenian dan kebudayaan alam Melayu itu amat luas. Namun tidak sedikit darinya yang telah rosak atau hilang begitu saja kerana kebingungan yang bergenerasi tumbuh dari kejahilan dan pesona hedonisme. Pendidikan terpadu; antara fisik dan mental/kerohanian, antara konsumpsi dan estetika, antara aqidah dan perbuatan/pembuktian, antara alami dan buatan, antara sains dan teknologi – seperti yang berlaku di AZ, pasti akan berhasil melahirkan generasi Melayu Moden yang tahu harga diri, sejarah dan yang tahu halatuju masing-masing.


'Kawasan ini dulunya tandus. Kering. Tiada yang mahu tumbuh, kecuali lalang liar,' Cerita tourist guide AZ suatu ketika dalam tawaf melihat lingkungan AZ. 'Kemudian kami tata semuanya; riset terhadap eko-sistem, eksperimen, dan kami juga menanam hutan – hutan jati, berbagai tanaman dan tumbuhan – baik sayuran dan buahan. Kami adakan sistem perairan, ada perikanan, penternakan.'


Sekarang AZ sudah hijau. Pohon-pohon merimbun dan merindang. Kicauan burung kedengaran riuh. Pengukir Melayu dahulu, cerita ayahanda, selalunya ada kebun sendiri, tempat dia menanam tumbuhan yang ingin diamatinya. Dia memelihara tumbuhan-tumbuhan itu – sambil memerhati bentuk dan rupa yang tumbuh, yang kemudiannya diterjemahkan kedalam gubahan-gubahan ukiran. Pengukir itu memang arif dengan apa yang diusahakan: Bunga tidak seperti bunga; buah tidak seperti buah; daun tidak seperti daun; batang tidak seperti batang.


Karya seni adalah di antara hasilan tamaddun. Karya seni orang-orang Islam dari berbagai daerah dunia – dari Moroko hingga ke Mindanao, dan yang dijumpai dari seawal abad pertama Hijiriah dan selewat ke abad ke 15 Hijriah, seperti yang diperkatakan oleh Allahyarhamah Lois Lamya' al Faruqi, seorang sarjana pengkaji kesenian Islam, adalah rata-rata non-representasional (tidak mengambil imej manusia, haiwan dan tumbuhan secara langsong) dan bersifat mujarad atau abstrak. Beliau menggariskan beberapa prinsip apresiasi bentuk seni Islam;


1. Prinsip Asas I: Kualiti Mujarad (Abstract Quality) – Allah itu Maha Berkuasa. Ia mempunyai asmaul-husna. Tiada tergambar oleh manusia yang diciptakan itu akan rupa dan bentukNya. Estetika Seni Islam bukan menjurus kepada penggambaran kemanusiaan dan juga bukan simboliknya kebenaran-kebenaran yang dapat diperolehi dari alam semulajadi (nature). Estetika Seni Islam berbicara tentang kemujaradan; tentang kefahaman (dan juga pengembangan) terhadap Ajaran Ilahi; tentang ketauhidan, tentang keKuasaan Allah S.W.T.


Kaligrafi, satu bentuk 'seni tulisan', adalah contoh bentuk seni yang membawa kualiti mujarad. Kaligrafi Arab, bahasa Al Quran, telah disempurnakan dan dikembangkan hingga menjadi skrip yang beraneka-ragam – yang boleh digunakan secara bersendirian dan juga bersama dengan yang lain-lain. Selain kaligrafi, seni hias bermotifkan rupa geomatrik (arabesque) dan tumbuhan juga adalah contoh bentuk-bentuk seni yang menampilkan kualiti mujarad ini.


2. Prinsip Asas II: Stailisasi/Denaturalisasi (Stylization/Denaturalization) – stailisasi dan denaturalisasi adalah dua kaedah artistik yang digunakan untuk memperhebatkan kualiti mujarad pada karya-karya seni. Artis-artis Islam melakukan stailisasi terhadap subject-matter yang lazimnya diambil dari alam sekeliling/semulajadi seperti tumbuhan. Manusia dan haiwan jarang sekali dirujuk kecuali sokongan illustrasi seperti pada Persian dan juga Mughal Miniatures Paintings. Rujukan itu didenaturalisasi sehingga apa yang tergambar itu bukanlah representatif langsung dari yang sebenar. Ia adalah kualiti mujarad yang terhasil dari proses stailisasi dan denaturalisasi.


3. Prinsip Asas III: Corak Tidak Berkesudahan (Infinite Patterning) – bersumberkan motif-motif yang sudah distailisasi atau didenaturalisasi, maka terbentuklah corak-corak yang boleh disusun atau digubah. Ia melibatkan kombinasi motif yang berupaya membawa audien dari rupa ke rupa, dari corak ke corak, dan dari ritma pergerakan ke ritma pergerakan. Keberagaman boleh menjadi kesatuan di sini.


Kaedah si pengukir Melayu dan prinsip apresasi seni Islam oleh Lois Lamya' itu adalah dua perkara yang bermain di fikiran saya apabila melihat beduk di Al Hayat. Apresiasi Seni, sebagai mata-pelajaran, boleh diperkukuhkan dengan pembelajaran sejarah dan budaya serta estetika masyarakat kita sendiri (juga dunia lainnya). Tentulah kita sendiri yang akan menanam padi berbuah emas, berdaun tembaga dan berbatang suasa itu. Az, saya akan kembali lagi.



Bacaan Tambahan:

1. Abdul Rahman Abdullah (2000). Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications

2. A. Samad Ahmad (penyusun) (1979). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Syed Ahmad Jamal, Lois Lamya' al Faruqi, Animah Annette & Sharifah Fatimah Zubir (1984). Katalog Pameran Tamaddun Islam. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

4. W.L Olthof (penyusun) (1941) (edisi 2008). Babad Tanah Jawi. Yogyakarta: Penerbit Narasi.


Ditulis pada pertengahan 2005. Diterbitkan sebagai SEBUAH INSTITUSI PENDIDIKAN YANG BERNAMA AL-ZAYTUN DAN MASA DEPANNYA YANG GEMILANG dalam SENTAP, majalah Seni Rupa Kontemporari Malaysia 2010.




TEKNIK MENJAWAB KERTAS 2 : SENI HALUS SPM

Teknik Menjawab Soalan K2 SPM

Kritikan Seni Visual (Edmund Felmand)

Strategi Kritikan Seni

Monday, October 25, 2010

Kritikan Seni Visual

Berikut adalah salah satu bentuk kritikan seni visual selain daripada bentuk yang anda belajar untuk peperiksaan (contoh Strategi Kritikan Seni Visual oleh Edmund Feldman). Anda perlu membaca banyak rencana berbentuk kritikan karya seni untuk memantapkan bahasa seni anda. Di antara majalah yang memuatkan kritikan seni adalah Impiana, Anjung Seri dan Dewan Budaya serta suratkhabar Berita Harian .
Untuk pengetahuan pelajar, penulis (TSabri) merupakan mantan pensyarah cikgu di Jabatan Seni Halus ITM yang juga seorang pengarca, kurator dan merupakan tenaga pengajar di Universiti Multimedia (kini). Fadzil Idris pula merupakan salah seorang rakan seperjuangan semasa belajar di ITM dahulu.
Aku dan Al Malik Fahd, media campuran atas kanvas, 1998

Nota Rampai SERUM (8): Situasi Perbandingan dalam 'Aku dan Al-Malik Fahd'


by Tsabri Ibrahim on Friday, September 10, 2010 at 10:39pm


Saya tertarik dengan sebuah catan bertajuk 'Aku dan Al-Malik Fahd' (A&M) yang dipamerkan di Pameran Kepada Mu Kekasih (Yang Maha Esa) (KMK), anjuran Balai Seni Lukis Negara (BSLN) sempena menyambut kehadiran bulan Ramadhan 1431 baru-baru ini. Catan ini adalah hasil karya sahabat saya, Fadzil Idris (Fadzil). Catan bahan campuran termasuk tanah atas kanvas, berukuran 4 x 4 kaki, berbingkai ke'emas'an, dan dibuat pada tahun 1998 ini tampak 'segak dan bersahaja' dalam keriuhan pameran KMK yang disebut itu.


Mari kita baca catan ini:



Dua figura manusia tanpa wajah memakai pakaian ihram – otomatik membawa kita kepada ibadah haji di Mekah yang berlangsung setiap tahun di bulan Zulhijjah tahun Hijiriah – seorang lebih tinggi hampir satu kepala dan mempunyai sejemput janggut dan agak mendedahkan bahagian dadanya. Ada seakan bayangan di belakang figura-figura itu, latar belakang gelap – menonjolkan putih pakaian dan warna tubuh figura di tengah keseluruhan gubahan. Mewakili siapakah kedua-dua figura ini?


Aku dan Al-Malik Fahd. Siapa aku? Siapa Al-Malik Fahd?


Aku: Fadzil sendiri sebagai artis – yang menghasilkan catan ini, atau kitakah yang menjadi aku apabila membaca catan ini?



Al-Malik Fahd: Siapa Al-Malik Fahd? Secara 'orang'nya, Al-Malik Fahd adalah raja Arab Saudi yang kelima, meninggal dunia pada tahun 2005. Kenapa dengan Al-Malik Fahd Raja Arab Saudi ini? Semasa pemerintahannya, Al-Malik Fahd menggelarkan dirinya sebagai 'Penjaga Dua Masjid Suci', Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid al-Nabawi di Madinah. Dia juga membina pusat pendidikan, perubatan, lapangan terbang, stadium dan berbagai untuk rakyatnya. Dia mendukong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan banyak mendanai projek-projek pembangunan di serata dunia. Dikatakan juga Al-Malik Fahd ini sangat suka kepada kemewahan dan keseronokan hidup. Dia dan rombongan adakalanya bercuti di luar negara selama berbulan-bulan. Dia dikatakan menyokong Saddam Hussein dalam Perang Iran-Iraq 1980 - 88 kerana khuatir rakyat Arab Saudi dipengaruhi Revolusi Iran 1979 yang menjatuhkan monarki Syah Reza Pahlavi. Dia turut tidak mengitktiraf Israel dan menyokong perjuangan rakyat Palestin, tetapi berhubungan baik dengan Amerika Syarikat. Dia kemudiannya membenarkan Amerika Syarikat membina pengkalan perang di Arab Saudi semasa Perang Telok 1990/91 untuk menentang sekutunya dahulu, Saddam Hussein, dan ini juga menjadikan dia dibenci oleh Osama bin Ladin, Al-Qaeda dan gerakan-gerakan Islam lain. Melalui berita-berita yang dikutip, kita tahu Al-Malik Fahd yang ini sentiasa mencampurkan perkara-perkara yang hak dan batil dalam urusan kehidupannya. Penuh drama dan kontraversi juga hidup Al-Malik Fahd ini.


Aku, samada Fadzil, saya atau anda pembaca, seperti mewakili satu pihak. Sementara Al-Malik Fahd di satu pihak yang lain. Atau mungkin anda juga mewakili Al-Malik Fahd - yang menjaga 'Dua Masjid Suci' itu, yang boleh bercuti berpesta selama mana yang disuka dan yang menjadi punca ramai orang marah dan membunuh? Dari awal lagi Fadzil telah menyediakan suatu 'situasi perbandingan' untuk kita, audien, perhatikan: Ada dua figura berbeza ketinggian dan status – seorang 'aku' dan seorang 'Al-Malik Fahd'. Fadzil mengajak kita berfikir melalui perbandingan. Menarik.


Mari terus kita hubungkan A&M dengan beberapa perkara yang boleh dijadikan sebagai latar untuk terus membaca karya ini.


Peristiwa-peristiwa besar musim haji di Mekah


Banyak peristiwa besar / penting dalam sejarah umat Islam berlaku di Mekah sewaktu musim haji. Antara terpenting ialah lengkapnya penurunan wahyu dari Allah kepada Muhammad Rasulullah, iaitu sebahagian dari ayat 3 dari surah Al-Maidah, yang antara lain berbunyi: …Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi ugama untuk kamu., dan pidato Muhammad Rasulullah yang terakhir, antara yang terkenal, berbunyi: Telah aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang kepada kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan sesat selama-lamanya, iaitu: Kitab Allah dan Sunnah Rasul. Apa 'aku' menuruti pesan Rasulullah Muhammad ini? Apa 'Al-Malik Fahd' menuruti pesan Rasulullah Muhammad ini? Apa 'Aku' dan 'Al-Malik Fahd' membaca dan memahami Al-Maidah ayat 3 itu?


Ibadah haji salah satu rukun Islam yang lima dan ekonomi


Semua Muslim bercita-cita hendak menunaikan ibadah haji. Hal ini tidak menjadi satu masalah kepada Muslim yang tinggal di Arab Saudi dan berdekatan, tetapi kepada Muslim yang jauh dari Mekah ia agak membebankan terutamanya kos perjalanan dan lain-lain kecualilah kepada yang mampu. Ramai yang menyimpan secara berdikit-dikit dan ada yang menjual harta benda. Namun tidak sedikit juga yang galak meraih keuntungan semasa musim haji – mengurus rombongan, berdagang dan berjual-beli. Berapa puluhan juta binatang ternakan disembelih? Dapatkah semua orang memakannya?


Haji Sekian bin Haji Anu dalam masyarakat Melayu tradisional


Seseorang yang telah menunaikan ibadah haji sangat dihormati dalam masyarakat Melayu tradisional. Jika dia menjadi imam dan mengajar ilmu-ilmu ugama, dia dengan mudah pula akan mendapat gelaran Tuan Guru Haji Sekian-sekian. Dia akan mengajar tentang halal haram itu-ini dan sebagainya. Masyarakat akan menjadikan dia tempat merujuk hal-hal berkaitan ugama dan juga kehidupan harian. Dia dengan mudah juga akan menjadi ketua masyarakat. Betulkah? Ada Tuan Haji yang memang boleh dicontohi, bukan? Ada juga Tuan Haji yang suka berjudi dan memusnahkan perhubungan, bukan?


Fadzil, Artis SERUM yang Gigih


Secara ringkas, Fadzil belajar Seni Rupa pada 1990an di ITM, Shah Alam. Fadzil mula dikenali apabila muncul sebagai salah seorang lima pemenang Pertandingan Seni Phillip Morris peringkat Malaysia dan mendapat Honorable Mention di peringkat Asean pada tahun 1996. Fadzil juga memenangi hadiah-hadiah di pertandingan Bakat Muda Sezaman pada tahun-tahun 2000 dan 2008. Terbaru, Fadzil memenangi hadiah kedua pertandingan catan muralis 1Malaysia di BSLN. Selain artis senirupa, Fadzil juga aktif dalam bidang perfileman. Dia pernah bekerja dengan U-Wei bin Hajisaari dalam filem 'Jogho' sebagai Pengarah Seni, dan terlibat dengan berbagai penerbitan filem, dokumentari dan drama. Dia memenangi hadiah Pengarahan Seni Terbaik untuk filem-filem 'Paloh' dan 'Embun' di Festival Filem Malaysia. Mengenai A&M, Fadzil bercerita bagaimana dia menghasilkan A&M ini pada suatu pagi Hari Raya Idul Adha – dalam kesepian kerana tidak berkesempatan untuk balik ke kampongnya di Kuala Kangsar!




Latar-latar Peristiwa Besar, Ibadah Haji dan Ekonomi, Kedudukan Seorang Haji dalam Masyarakat Melayu dan Fadzil Artis SERUM sepertimana yang ditandakan di atas itu terus membentuk pembacaan kita terhadap A&M. Rata-rata karya dalam pameran KMK itu kelihatannya memuji Allah secara langsung, baik melalui kaligrafi Arab atau kemujaradan corak arabes, malah juga dengan palitan ekspresionisme. Namun A&M tidak begitu, A&M adalah seperti rakaman terima kasih Fadzil sebagai manusia Muslim kepada Allah S.W.T. Fadzil mengajak kita, audien, untuk menyedari akan anugerah Allah yang berharga kepada kita ialah akal. Dan akal ini tentulah akal yang membenarkan wahyu-wahyu Allah. Akal inilah yang digunakan untuk memahami kehidupan ini dan membaikinya supaya menjadi lebih baik. Akal ini berguna untuk kita mencari ketentuan hak dan batil; berguna untuk memilih untuk taat kepada wahyu Allah atau nafsu manusia, untuk mengikuti pimpinan yang benar-benar bertakwa kepada Allah atau yang terus menerus menjaga kemuliaan dan kepentingan diri melalui berbagai cara. Akal yang dipandu wahyu Allahlah yang akan menentukan siapa 'Aku' dan siapa 'Al-Malik Fahd'.




Saya calonkan A&M sebagai karya yang terbaik di pameran KMK itu. Syabas.


gambar adalah dari koleksi Fadzil Idris.




Tuesday, October 12, 2010

LAPORAN PROGRAM ‘BEGHOLEK GODANG’ SENI RUPA MALAYSIA


Panitia Pendidikan Seni Visual SMK Batu Kikir (Model Khas) dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu telah mengadakan program 'Begholek Godang' Seni Rupa Malaysia bagi memberikan pemantapan pengetahuan mengenai ilmu Seni Visual kepada pelajar-pelajar di Negeri Sembilan melalui pameran hasil kerja pelajar terpilih. Program ini dijalankan selama dua hari iaitu pada 28 September (Selasa) dan 29 September (Rabu).

Tahun ini merupakan tahun ketiga Panitia Pendidikan seni Visual SMK Batu Kikir (Model Khas) dan Pejabat Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu menganjurkan program seumpama ini dan menjemput sekolah-sekolah dari seluruh Negeri Sembilan menyertainya. Beberapa buah sekolah turut dijemput untuk mengadakan pameran; di antaranya ialah SMK Juasseh, Kuala Pilah; SMK Taman Indah, Tampin; SMK Bukit Saujana, Port Dickson; SMK Mantin dan SMK Dato' Undang Musa Al Haj, Jelebu. Sekolah-sekolah ini telah mempamerkan hasil kerja pelajar-pelajar bagi mata pelajaran Pendidikan Seni Visual SPM dan Seni Visual STPM.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Tuan Mohd. Sah bin Zainal Abidin, Pegawai Pealajaran Daerah Jempol dan Jelebu pada 28 September 2010 jam 11.00pagi. Beliau diiringi oleh Tuan Hj. Kamaruddin b. Hj. Ibrahim, Pengetua Cemerlang dan En. Abd. Rahman bin Harun, Yang Dipertua PIBG SMK Batu Kikir (Model Khas). Turut hadir ialah En. Putra bin Hashim, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu, En. Muttakal bin Hatom, Penolong Pegawai Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu serta En. Mohd. Nor bin Awalluddin dari Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan.

Program ini turut dimantapkan lagi dengan penyertaan Fakulti Senilukis dan Senireka, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam. Pihak Fakulti telah menghantar seramai 18 orang pelajar dan 2 orang pensyarah dari pelbagai jabatan seni yang telah mengadakan pameran hasil seni dan demonstrasi . Di antara jabatan seni yang turut serta adalah Jabatan Seni Halus, Senireka Tekstil, Senireka Logam Halus, Senireka Fesyen dan Senireka Seramik. Selain daripada melihat pameran, pelajar-pelajar sekolah di Negeri Sembilan yang hadir dapat melihat demonstrasi dan mencuba sendiri pelbagai teknik penghasilan karya seni.

Turut menceriakan suasana adalah Kumpulan Kartunis daripada Majalah Gila-Gila terbitan Creative Enterprise yang terdiri daripada Ramzahurin, Nud,s dan Syazwan. Gerai Creative Enterprise mendapat sambutan hangat daripada para pelajar, guru-guru dan orang ramai yang hadir dengan mengadakan jualan novel-novel keluaran Creative Enterprise selain daripada menawarkan diskaun dan harga runtuh untuk koleksi kartunis dan Majalah Gila-Gila. Kumpulan kartunis juga sempat mengadakan satu Bengkel Melukis Kartun kepada para pelajar.


Perhatian para pengunjung juga tertumpu kepada gerai Lukisan Potret oleh En. Zakir Amir yang dikenali sebagai Zorro, dari Persatuan Pelukis Negeri Sembilan (PELUKIS). Turut serta adalah En. Abdul Aziz dari Pasar Seni Kuala Lumpur yang menghasilkan lukisan-lukisan karikatur para pengunjung.

Secara keseluruhannya, program 'Begholek Godang' Seni Rupa Malaysia Tahun 2010 berjaya kerana adanya kerjasama daripada guru-guru, pentadbiran sekolah, PIBG, Jabatan Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu dan disokong oleh Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan. Kalangan pengunjung telah member reaksi positif dan mengharapkan program seumpama ini dapat dijadikan acara tahunan.







Terima Kasih