Selasa, 26 Oktober 2010

BACAAN TAMBAHAN APRESIASI SENI

Catatan Perjalanan ke Al Zaytun (2): Padi Berbuah Emas, Berdaun Tembaga dan Berbatang Suasa

by Tsabri Ibrahim on Monday, September 27, 2010 at 2:05pm

Tumbuh berpunca

Punca itu rahsia

Naik tidak memijak kawan

Menikam tidak menerjah lawan

Tapi melingkar dengan mesra


Sebelum dan semasa kedatangan kuasa penjajah Barat di abad ke 14, rantau Tenggara Asia meriah dengan keberagaman budaya dan cara hidup kaum-kaum serta puak-puak yang mendiaminya. Semuanya berkembang mengikut citarasa masing-masing dari tali sejarah dan budaya yang panjang; dari kepercayaan animisme kepada pengaruh keIndiaan yang membawa faham Hinduisme dan Buddhisme yang menjelma antara lain di Lembah Bujang (300M) di Semenanjung Malaysia, Prambanan (850M) dan Borubudor (800M) di Jawa dan Angkor Wat (abad ke 12M) di Indochina, hinggalah disatukan dengan kedatangan Islam di sekitar abad ke 12 dan 13M. Keberagaman yang merata di segenap pelusok Tenggara Asia itu perlahan-lahan menyatu dalam aspirasi kemodenan yang dibawa Islam; tidak sedikit kita mendengar tentang Kesultanan Melayu Melaka, Kesultanan Demak, dan juga lawatan Laksamana Cheng Ho diantara tahun-tahun 1405 – 1433M). Kita memang mempunyai sejarah dan kebudayaan yang panjang dan menarik.


Suatu ketika dalam perjalanan ke AZ, melintasi sempadan Malaysia – Singapura di Link Kedua, saya ditahan oleh pihak Imigresen Singapura gara-gara sebuah buku yang saya jadikan teman perjalanan. Buku itu berjudul 'Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam' oleh Abdul Rahman Abdullah (2000). Sebenarnya buku itu hanyalah sebuah buku sejarah, ia tidak mengandungi apa-apa seperti ideologi terorisme atau radikalisme Islam yang ketika itu hangat diperkatakan media. Pegawai Tionghua yang memeriksa saya itu memanggilkan kawan Melayunya dan ditunjukkan buku itu, dia rupa-rupanya kurang fasih berbahasa Melayu. Mereka bertanyakan apa pekerjaan saya, kemana arah dan tujuan perjalanan saya. Saya beritahu mereka saya adalah seorang artis senirupa, dalam perjalanan ke Indonesia untuk melawat teman-teman artis. Saya memasuki Singapura kerana ada temujanji dengan seorang teman di Singapore Art Museum. Mereka bertanya apa yang saya tahu tentang Al-Qaeda dan jaringannya di Tenggara Asia. Wah, saya agaknya disangka seorang teroris! Saya beritahu apa yang saya tahu serba sedikit; Al Qaeda – sebuah pertubuhan/pergerakan Islamis Sunni antarbangsa yang kerap melakukan aksi terror dan serangan militan seperti Peristiwa September Sebelas tahun 2001, diketuai oleh Osama bin Ladin. Di Tenggara Asia, Al Qaeda dikatakan mempunyai hubungan dengan Jemaah Islamiah, sebuah pergerakan militan rantau Tenggara Asia yang komited dengan penubuhan Daulah Islamiah di Tenggara Asia. Sempat juga saya bertanyakan mereka kembali – apa kaitan soalan-soalan itu dengan saya dan perjalanan saya ini? Security measures, sir. Thank you for your cooperation. Welcome to Singapore. Have a pleasant trip.


Membaca sejarah dan kebudayaan Tenggara Asia, terutamanya melalui kesusasteraan dan seni rupa, kita akan dapati ianya sarat dengan tanda-tanda, perlambangan, perumpamaan, bidalan dan kiasan yang diambil dari alam sekeliling/semulajadi. Kita akan menemui ada manusia yang lahir dari muntah sapi, dari buloh betung dan dari buih air yang berpusaran di sungai. Kita akan bertemu dengan seribu satu macam keperwiraan, kesaktian, kekebalan juga tentunya kehebatan jurus-jurus persilatan. Kita akan dapati sebuah bukit bercahaya kerana turunnya anak-anak raja dari kayangan. Kisah-kisah Wali Songgo sendiri tidak sunyi dari keajaiban kalau tidak pun kesaktian. Agak sukar untuk memahami kesemuanya jika kita tidak terdidik baik dalam cabang-cabang pengetahuan seperti antropologi, semiotika, estetika dan studi budaya (Cultural Studies). Kita dengan mudah boleh terdorong untuk mengikutinya sebagai kisah-kisah mitos, legenda atau khayalan untuk hiburan semata, atau barangkali juga mempercayainya bulat-bulat. Sampai sekarang pun masyarakat Tenggara Asia tidak sunyi dari cerita-cerita perbomohan, perdukunan dan hal-hal yang berbau mistik dan sihir.Kita tidak akan memahaminya tanpa kesaksamaan apresiasi – tanpa akal waras. Dan tanpa panduan atau pedoman yang mencerahkan.


Di sisi belakang Al Hayat ada sebuah bedok besar lengkap dengan tempat bergantungnya. Meski sudah tidak digunakan (mungkin kerana keadaannya yang sudah rosak), saya terkesan dengan gubahan ukiran yang terdapat padanya. Ukiran bertemakan sejenis flora itu sangat familiar dengan apa yang saya ketahui; ragam gubahannya adalah dari gaya Jawi, yang pernah saya pelajari dari Allahyarham ayahanda saya semasa remaja di Terengganu. Kata seorang teman, beduk itu adalah hadiah atau cenderahati dari Kepulauan Riau kepada AZ.


Hilir ke Teluk Karis

Mudek menengah kota

Memahat di dalam baris

Berkata dalam pusaka


Di awal makalah ini, ada pantun yang dijadikan rujukan, panduan atau aturan oleh para pengukir Melayu menggubah ukiran mereka yang rata-ratanya terilham dari tumbuhan dan flora yang ada di persekitaran dan sekeliling mereka;


Tumbuh berpunca; setiap yang tumbuh (baca: hidup) itu ada permulaanya – pengukir harus mengetahui mula kerjanya. Punca itu rahsia; rahsia itu adalah untuk dikenali, diketahui atau dipelajari – pengukir harus dapat menguasai pengetahuan, teknik dan bahan yang digunakan. Naik tidak memijak kawan; perkembangan dalam kehidupan (baca: perjuangan) sepantasnya dalam suasana yang penuh rasa hormat dan menghormati – pengukir harus menggubah ukirannya secara saksama atau keadaan seimbang. Menikam tidak menujah lawan; persaingan dalam apa sekali pun harus dalam keadaan sihat, tidak memperlekeh atau menyakitkan hati lawan – pengukir harus memastikan gubahannya tidak bercanggahan di antara bahagian-bahagianya. Tetapi melingkar dengan mesra; kehidupan ini sepatutnya penuh dengan kasih-sayang, perdamaian dan toleransi – pengukir harus memastikan gubahannya dapat menyuburkan rasa estetika khalayaknya.


Dan bedok di Al Hayat itu berbunyi terus – melantunkan citra perdamaian dan toleransi ke seluruh pelusuk Kepulauan Melayu. Atlas kesenian dan kebudayaan alam Melayu itu amat luas. Namun tidak sedikit darinya yang telah rosak atau hilang begitu saja kerana kebingungan yang bergenerasi tumbuh dari kejahilan dan pesona hedonisme. Pendidikan terpadu; antara fisik dan mental/kerohanian, antara konsumpsi dan estetika, antara aqidah dan perbuatan/pembuktian, antara alami dan buatan, antara sains dan teknologi – seperti yang berlaku di AZ, pasti akan berhasil melahirkan generasi Melayu Moden yang tahu harga diri, sejarah dan yang tahu halatuju masing-masing.


'Kawasan ini dulunya tandus. Kering. Tiada yang mahu tumbuh, kecuali lalang liar,' Cerita tourist guide AZ suatu ketika dalam tawaf melihat lingkungan AZ. 'Kemudian kami tata semuanya; riset terhadap eko-sistem, eksperimen, dan kami juga menanam hutan – hutan jati, berbagai tanaman dan tumbuhan – baik sayuran dan buahan. Kami adakan sistem perairan, ada perikanan, penternakan.'


Sekarang AZ sudah hijau. Pohon-pohon merimbun dan merindang. Kicauan burung kedengaran riuh. Pengukir Melayu dahulu, cerita ayahanda, selalunya ada kebun sendiri, tempat dia menanam tumbuhan yang ingin diamatinya. Dia memelihara tumbuhan-tumbuhan itu – sambil memerhati bentuk dan rupa yang tumbuh, yang kemudiannya diterjemahkan kedalam gubahan-gubahan ukiran. Pengukir itu memang arif dengan apa yang diusahakan: Bunga tidak seperti bunga; buah tidak seperti buah; daun tidak seperti daun; batang tidak seperti batang.


Karya seni adalah di antara hasilan tamaddun. Karya seni orang-orang Islam dari berbagai daerah dunia – dari Moroko hingga ke Mindanao, dan yang dijumpai dari seawal abad pertama Hijiriah dan selewat ke abad ke 15 Hijriah, seperti yang diperkatakan oleh Allahyarhamah Lois Lamya' al Faruqi, seorang sarjana pengkaji kesenian Islam, adalah rata-rata non-representasional (tidak mengambil imej manusia, haiwan dan tumbuhan secara langsong) dan bersifat mujarad atau abstrak. Beliau menggariskan beberapa prinsip apresiasi bentuk seni Islam;


1. Prinsip Asas I: Kualiti Mujarad (Abstract Quality) – Allah itu Maha Berkuasa. Ia mempunyai asmaul-husna. Tiada tergambar oleh manusia yang diciptakan itu akan rupa dan bentukNya. Estetika Seni Islam bukan menjurus kepada penggambaran kemanusiaan dan juga bukan simboliknya kebenaran-kebenaran yang dapat diperolehi dari alam semulajadi (nature). Estetika Seni Islam berbicara tentang kemujaradan; tentang kefahaman (dan juga pengembangan) terhadap Ajaran Ilahi; tentang ketauhidan, tentang keKuasaan Allah S.W.T.


Kaligrafi, satu bentuk 'seni tulisan', adalah contoh bentuk seni yang membawa kualiti mujarad. Kaligrafi Arab, bahasa Al Quran, telah disempurnakan dan dikembangkan hingga menjadi skrip yang beraneka-ragam – yang boleh digunakan secara bersendirian dan juga bersama dengan yang lain-lain. Selain kaligrafi, seni hias bermotifkan rupa geomatrik (arabesque) dan tumbuhan juga adalah contoh bentuk-bentuk seni yang menampilkan kualiti mujarad ini.


2. Prinsip Asas II: Stailisasi/Denaturalisasi (Stylization/Denaturalization) – stailisasi dan denaturalisasi adalah dua kaedah artistik yang digunakan untuk memperhebatkan kualiti mujarad pada karya-karya seni. Artis-artis Islam melakukan stailisasi terhadap subject-matter yang lazimnya diambil dari alam sekeliling/semulajadi seperti tumbuhan. Manusia dan haiwan jarang sekali dirujuk kecuali sokongan illustrasi seperti pada Persian dan juga Mughal Miniatures Paintings. Rujukan itu didenaturalisasi sehingga apa yang tergambar itu bukanlah representatif langsung dari yang sebenar. Ia adalah kualiti mujarad yang terhasil dari proses stailisasi dan denaturalisasi.


3. Prinsip Asas III: Corak Tidak Berkesudahan (Infinite Patterning) – bersumberkan motif-motif yang sudah distailisasi atau didenaturalisasi, maka terbentuklah corak-corak yang boleh disusun atau digubah. Ia melibatkan kombinasi motif yang berupaya membawa audien dari rupa ke rupa, dari corak ke corak, dan dari ritma pergerakan ke ritma pergerakan. Keberagaman boleh menjadi kesatuan di sini.


Kaedah si pengukir Melayu dan prinsip apresasi seni Islam oleh Lois Lamya' itu adalah dua perkara yang bermain di fikiran saya apabila melihat beduk di Al Hayat. Apresiasi Seni, sebagai mata-pelajaran, boleh diperkukuhkan dengan pembelajaran sejarah dan budaya serta estetika masyarakat kita sendiri (juga dunia lainnya). Tentulah kita sendiri yang akan menanam padi berbuah emas, berdaun tembaga dan berbatang suasa itu. Az, saya akan kembali lagi.



Bacaan Tambahan:

1. Abdul Rahman Abdullah (2000). Sejarah dan Tamadun Asia Tenggara: Sebelum dan Sesudah Pengaruh Islam. Kuala Lumpur: Utusan Publications

2. A. Samad Ahmad (penyusun) (1979). Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

3. Syed Ahmad Jamal, Lois Lamya' al Faruqi, Animah Annette & Sharifah Fatimah Zubir (1984). Katalog Pameran Tamaddun Islam. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara.

4. W.L Olthof (penyusun) (1941) (edisi 2008). Babad Tanah Jawi. Yogyakarta: Penerbit Narasi.


Ditulis pada pertengahan 2005. Diterbitkan sebagai SEBUAH INSTITUSI PENDIDIKAN YANG BERNAMA AL-ZAYTUN DAN MASA DEPANNYA YANG GEMILANG dalam SENTAP, majalah Seni Rupa Kontemporari Malaysia 2010.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan