Khamis, 30 Disember 2010

TERIMA KASIHHH.....!!!

Hari ni cikgu ke Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan di Seremban. Sebulan sebelum Program 'Begholek Godang' SENI RUPA MALAYSIA berlangsung, cikgu cuba-cuba buat kertas kerja dan memberanikan diri berjumpa YB Dato' Razi Kail exco Pelancongan dan Kesenian N9 untuk mohon sedikit sumbangan bagi membiayai program. Beliau cadangkan cikgu hantar kertas kerja dan surat mohon sumbangan kepada Menteri Besar.

So, cikgu buatlah. Tapi masa tu dah nak cuti Hari Raya Puasa. Lepas raya, semua orang sibuk dengan Majlis Hari Raya... tinggal seminggu nak program, bila UiTM (Fakulti Senilukis dan Senireka) confirm nak datang sebuah bas, cikgu tambah pening sebab tak ada budget makan dia orang. Sebelum cuti HAri Raya dah hantar surat mohon sumbangan pada bank berhampiran, tapi satu pun tak ada respons.

Akhirnya, Lembaga Pengarah Koperasi SMK Batu Kikir (MK) iaitu, yakni adanya KOOP sekolah cikgu, bermurah hati sponsor makan dan minum pelajar UiTM tu. Terima kasih banyak-banyak. menitis air mata cikgu dapat rakan-rakan guru yang faham dan sedia membantu.

Namanya Program Begholek Godang bermaksud Kenduri Bosarr.. takkan tak ada makan-makan. Jamuan perasmian, makan AJK Kerja untuk dua hari kena cari juga! Pejabat Pelajaran Jempol dan Jelebu dah bagi RM500 (terima kasih En. Putra), PK Koko dah cover bayaran khemah guna peruntukan ko-ko, duit kenduri saja tak ada..

Cikgu pun terpaksa minta tolong kroni paling rapat (suami cikgu, he he) berjumpa Dato' Ismail Lasim (YB Senaling) untuk mohon sumbangan. Alhamdulillah.. tak sangka Dato' bermurah hati bagi RM 1,000.00 (seribu hinggit). Bila dapat RM 1K, baru cikgu boleh tidur lena sebab masalah budget dah selesai...

Sebenarnya, kalau nak buat pameran, budgetnya taklah besar sebab bahan-bahan pameran dah memang sedia ada. Duit nak menjamu orang saja kita kena cari. Softboard cikgu pinjam saja daripada Pejabat Kesihatan Daerah...

Satu lagi, perancangan untuk program ni agak lambat ditambah pula dengan cuti Hari Raya, jadinya agak sukar untuk mendapatkan respons kepada surat memohon sumbangan. Dalam situasi Program Begholek Godang SERUM ini, Pengetua sekolah cikgu amat membantu termasuklah mencari peruntukan sekolah yang boleh digunakan untuk program ini. Bila dah kelam kabut macam ni, sokongan moral daripada Pengetua sangat dihargai sehinggakan bila cikgu jenguk ke pejabat beliau, Pengetua akan cakap, "apa lagi yang boleh saya bantu?".

Bagaimanapun, bila semua kekalutan (khususnya bab budget) dah berlalu, melimpah ruah pula sumbangannya. Surat mohon sumbangan mula mendapat respons . Bank memberi sumbangan, pembekal (terima kasih Sdr. Khairul) sumbang Buku Program untuk Majlis Perasmian berwarna yang cantik bernilai RM200, freee ; tak lupa juga hadiah-hadiah untuk Bakat Pendidik bernilai RM250.

Hari ini, selepas lebih dua bulan program telah berlangsung, dapat cek sumbangan daripada Pejabat Menteri Besar pula.. berapa ya? RM 5,000.00 (Lima Ribu Sahaja).!Wah! 2011 nanti, sekolah cikgu boleh buat Program Begholek Ghodang SERUM seminggu! he he...

Jumaat, 24 Disember 2010

SELAMAT TAHUN BARU 2011

Lama juga cikgu tak update blog ni. Memang sengaja tunggu tahun baru, azam baru. Pelajar yang dah naik ke Enam Atas tahun ni, diharap dah buat ulangkaji tajuk-tajuk penting iaitu ASAS SENIREKA. Dah lupa dah? Kena la cikgu yang ulangkaji semula..

Tajuk ASAS SENIREKA ni, yang terpenting sekali pelajar kuasai. Tak boleh tak tahu. Yang baru bersemangat nak belajar tu, cikgu nasihatkan cari buku seni Tingkatan Satu, baca dan fahamkan. Buat nota. Takkan dah Tingkatan Enam, baca buku Form 1 tak faham?

Secara asasnya, ada enam tajuk UNSUR SENI dan tujuh tajuk PRINSIP REKAAN untuk difahamkan. Setiap tajuk, secara amnya terbahagi kepada:

i. definisi
ii. jenis-jenis/sifat
iii. contoh aplikasi dalam bidang seni visual (cth. dlm lukisan, catan, arca, kraf, seni grafik, corak dll). - lukis/warna semula dalam bentuk lakaran

Jangan berlengah, dapatkan buku dan buat peta minda 13 tajuk di atas . Untuk tajuk warna, kena buat eksperimentasi dalam kelas atau rujuk blog/youtube.



Sabtu, 4 Disember 2010

Kertas 2 SPM

Karya para pelajar yang dipaparkan di bawah adalah hasil bimbingan guru Hjh Azizah bt. Ismail yang kini mengajar di SMK Taman Indah, Tampin , Negeri Sembilan. Gambar-gambar ini diambil semasa program ‘Begholek Godang’ SENI RUPA Malaysia pada 28 dan 29 September lalu. Terima kasih diucapkan kepada Hjh azizah dan guru-guru yang sudi berkongsi ilmu .

DSC_0621

DSC_0622

 

DSC_0678

DSC_0791

Rabu, 1 Disember 2010

Kritikan Seni Visual (mengikut 4 Tahap Strategi Kritikan Seni)

KRITIKAN SENI VISUAL

-DESKRIPSI

Karya bertajuk "Flora Keris Melayu Sakti" oleh Mohd Mustafa Mohd Ghazali memaparkan imej keris dengan menggunakan media campuran.

-ANALISIS

Karya ini berbentuk arca timbulan dan menggunakan pelbagai media campuran dalam penghasilan karya. Unsur-unsur seni yang di tonjolkan dalam karya adalah rupa dan jalinan, manakala prinsip rekaan yang diaplikasikan memaparkan harmoni, kesatuan, kepelbagaian, imbangan, dan penegasan.

-INTERPRETASI

Karya "Flora Keris Melayu Sakti" cuba mengangkat seni tradisi orang-orang Melayu melalui senjata keris. Dalam seni tradisi, keris mempunyai fungsi yang pelbagai termasuklah alat mempertahankan diri sebagai senjata peperangan, taraf hidup dan pangkat serta digunakan dalam perubatan tradisional.

Kini, fungsi keris semakin diketepikan. Ia tidak lagi relevan dengan dunia teknologi dan digital. Fungsinya sangat terhad dan kadang-kadang hanya tersimpan di dalam peti buruk. Hanya mereka yang berilmu akan menghargainya.

Mohd Mustafa Ghazali melalui karyanya, memaparkan imej keris dalam konteks yang boleh diterima kini. Ia bukan lagi untuk digunakan sebagai senjata peperangan atau alat mempertahankan diri, sebaliknya karya "Flora Keris Melayu Sakti" mengupas isu-isu berkaitan jati diri seorang Melayu moden.

Karya ini menonjolkan motif-motif flora keris dalam bentuk berjalinan. Hulu keris yang asalnya berbentuk 3 Dimensi diolah menjadi motif berupa 2 Dimensi serta dihiasi dengan jalinan corak pada hulu keris dan keris itu sendiri.

Karya mengaplikasikan prinsip imbang tidak simetri, dan jalinan corak yang berulang-ulang mewujudkan kesan harmoni dan kesatuan. Pengkarya mungkin cuba mengupas isu jati diri dan penyatuan masyarakat Melayu yang dilihat semakin berpecah belah.

Kepelbagaian media campuran dalam penghasilan karya ini memaparkan nilai estetik yang tinggi melalui teknik-teknik penghasilan karya.

-PERTIMBANGAN

Karya "Flora Keris Melayu sakti" oleh Mohd Mustafa Ghazali Berjaya mengupas isu-isu berkaitan jati diri orang-orang Melayu. Beliau juga mentransformasikan seni tradisi Melayu lama menjadi sebuah karya arca timbulan seni pasca moden yang sarat dengan falsafah kemelayuannya.

Cth surat mohon sumbangan


 

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BATU KIKIR

(MODEL KHAS)

72200 BATU KIKIR

NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

KOD SEKOLAH: NEE 6002

TEL : 06-4981393     FAX : 06-4982620


 

                          Ruj Kami : Bil ( ) dlm        

Tarikh     : 3 September 2010.


 


 

...............................

...............................

...............................


 

Tuan,


 

MEMOHON SUMBANGAN SEMPENA SAMBUTAN PROGRAM 'BEGHOLEK GODANG' SENI RUPA MALAYSIA SMK BATU KIKIR (MODEL KHAS).


 

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.


 

2.    Sukacita dimaklumkan bahawa SMK Batu Kikir (Model Khas) akan mengadakan program 'Begholek Godang' Seni Rupa Malaysia bagi memberikan pemantapan pengetahuan mengenai ilmu Seni Visual kepada pelajar-pelajar di Negeri Sembilan melalui pameran hasil kerja pelajar terpilih:


 

    Tarikh    :    28 dan 29 September 2010 (Selasa dan Rabu)

    Masa        :    9.00 – 5.00 petang

    Tempat    :    Dewan Za'ba, SMK Batu Kikir (Model Khas)


 

3.    Sehubungan itu, besarlah harapan kami sekiranya pihak tuan dapat menyumbangkan sumbangan ikhlas agar program ini dapat berjalan dengan lancar. Sumbangan boleh diberi dalam bentuk cek atas nama BENDAHARI PIBG SMKBK.


 

4.    Bersama-sama ini juga disertakan kertas kerja program ini untuk dipertimbangkan oleh pihak tuan..


 

6.    Segala kerjasama dan perhatian daripada pihak tuan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.


 


 

Sekian, terima kasih.


 


 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"


 


 

Saya yang menurut perintah,

Contoh surat panggil mesyuarat

Kepada;

Jawatankuasa Kerja,

(seperti di Lampiran)


Tuan,

MESYUARAT JAWATANKUASA KERJA PROGRAM Begholek Godang

SENI RUPA MALAYSIA TAHUN 2010.


Dengan hormatnya perkara di atas adalah dirujuk.


2. Berkaitan perkara ini dimaklumkan bahawa mesyuarat akan diadakan seperti ketetapan berikut:-


TARIKH : 23 SEPTEMBER 2010

MASA : 3.30 PETANG

TEMPAT : BILIK GERAKAN

3. Kehadiran tuan-puan ke mesyuarat ini didahului dengan ucapan terima kasih.



Sekian, terima kasih,


Yang benar





LAMPIRAN

BIL

AJK

CATATAN

Pengerusi / Timbalan Pengerusi/ Naib Pengerusi

Pengetua /

Penolong Kanan Akademik

Penolong Kanan HEM

Penolong Kanan Ko-Kurikulum Penolong Kanan Tingkatan Enam

Penyelaras

Program

Hjh. Habibah bt. Omar

Ketua Bidang Kemanusiaan

Pn. Nazlee bt. Md. Nor

GPK Ko Ko T.6

Setiausaha dan Penolong setiausaha

Pn. Norazleen bt. Mohamad

Pn. Noraida bt. Ahmad

Bendahari

Pn. Norulhuda bt. Muhamad.

Urusetia

Cik Aida Irena bt. Rasdi

Pengacara Majlis

Perasmian

Pn. Bhinecawaty bt. Hamzah

Cik Azlinda Abd. Rahman

Pelancaran Perasmian

En. Nurul Azwan b. Abdullah

Pn. Norzita bt. Kamaruddin

Bacaan Doa

Ust. Mohmad bin Mustafa

Sambutan

Pengurusan dan Pentadbiran

Jamuan

Puan Zainiah bt. Sharif

Pn. Salina Ramli

Persiapan Tempat

Dan Hiasan Pentas

En. Abu Kasim b. Abdul Hamid

En. Baharuddin b. Sidek

Pn. Hafizah Md. Nor

Dokumentasi

En. Abu Zarin Yasin

Cik Nor Filzah bt. Ibrahim

Backdrop, pas petugas dan Buku Program

Pn. Noliza Md. Dom

PA Sistem

En. Muhammad Shuhaimi b. Shamsudin

Sijil dan Cenderahati

Pn. Norfaza bt. Ahmad (sijil)

Pn Tengku Nur Ayuni bt. Tuan Aziz (cenderahati)

Pameran STPM

Pn Noraida Ahmad

Pn. Norhafida Hamdan

Pameran SPM

Pn Tg Nur Ayuni Tuan Aziz

Pn. Siti Balkith bt. Abdul Khalid

Pertandingan Dan Pameran Bakat Muda

Cik Aida Irena bt. Rasdi

Cik Aniza bt. Malip

Pertandingan Dan Pameran Bakat Pendidik

Cik Norlizayu bt. Hamthan

Cik Aida bt. Mohd. Zahari

Teratak Kraftangan (Batik)

Persatuan Seni Kreatif

Teratak Kraftangan (Anyaman)

Persatuan Seni Kreatif

Kaunter Pembayaran

Pn. Norul Huda bt. Muhamad

Bengkel Melukis Kartun

dan Jualan Majalah

Pn. Azimah bt. Yusof

Pengerusi Majlis

Bicara Seni

Tn. Hj. Azlan b. Arshad

Pendaftaran

Pn. Dayang Salawati bt. Noran

Keselamatan dan Disiplin

En. Khairul Izwan b. Zainordin

En. Norhamdi Kamarudin

Penginapan termasuk makan minum Pelajar UiTM

Tn. Hj. Abd. Rahman

Pn. Khadijah

Pn. Khuzaina

Publisiti dan seranta

En. Razis bin Abd. Razak

En. Borhan b. Dolah

Contoh surat pinjam softboard


 

Rujukan Kami:

20 September 2010


 

Kepada,

Pegawai Kesihatan Daerah,

Pejabat Kesihatan Jempol,

N. Sembilan .


 

Tuan,

PERMOHONAN MEMINJAM PAPAN PAMERAN (SOFTBOARD) UNTUK KEGUNAAN

PROGRAM 'BEGHOLEK GODANG' SENI RUPA MALAYSIA TAHUN 2010.


 

Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.


 

2. Sukacita dimaklumkan bahawa SMK Batu Kikir (Model Khas) akan mengadakan program 'Begholek Godang' Seni Rupa Malaysia bagi memberikan pemantapan pengetahuan mengenai ilmu Seni Visual kepada pelajar-pelajar di Negeri Sembilan melalui pameran hasil kerja pelajar terpilih:


 

3. Pinjaman ini adalah untuk tujuan Program
'Begholek Godang'
Seni Rupa Malaysia
. Berikut adalah butir-butir pinjaman:

a. Tarikh pinjaman : 27 September 2008 (2.30 petang) hingga

30 September 2008 (8.30pagi)

b. Tempat : Dewan ZA'BA

c. Bilangan : 10 unit 6' X 3'

10 unit 2' x 2'


 

4. Bagi tujuan keselamatan , kami berharap pihak tuan dapat menguruskan penghantaran, pemasangan dan pemulangan bahan .


 

5. Kerjasama daripada pihak tuan, kami dahului dengan ucapan terima kasih.


 

Sekian untuk perhatian dan tindakan tuan


 


 

Yang benar,

Contoh surat jemput perasmian


 

SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN BATU KIKIR

(MODEL KHAS)

72200 BATU KIKIR

NEGERI SEMBILAN DARUL KHUSUS

KOD SEKOLAH: NEE 6002

TEL : 06-4981393     FAX : 06-4982620


 

                        

Tuan Pegawai     Pelajaran

Daerah Jempol dan Jelebu,

Pejabat Pendidikan Daerah ,

Negeri Sembilan Darul Khusus.


 


 

Tuan,


 

PERASMIAN PROGRAM "BEGHOLEK GODANG SENI RUPA MALAYSIA" TAHUN 2010.


 

Saya dengan hormatnya merujuk perkara di atas.


 

2.    Pihak sekolah berbesar hati menjemput Tuan Pegawai Pelajaran Daerah untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Program "Begholek Godang Seni Rupa Malaysia" peringkat SMK Batu Kikir (Model Khas) yang akan diadakan mengikut ketetapan berikut :


 

    Tarikh    :    28 September 2010

    Masa        :    11.00 pagi

    Tempat    :    Dewan Za'ba, SMK Batu Kikir (Model Khas)


 


 

3.    Sehubungan itu, besarlah harapan kami agar pihak tuan dapat meluangkan masa untuk menyempurnakan perasmian majlis seperti yang tercatat di atas.


 

5.    Bersama-sama ini juga disertakan aturcara majlis untuk makluman tuan .


 

6. Perhatian daripada pihak tuan didahului dengan ucapan terima kasih.


 


 

Sekian, terima kasih.


 


 

"BERKHIDMAT UNTUK NEGARA"


 


 


 

Saya yang menurut perintah,


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 


 

ATUR CARA MAJLIS PERASMIAN

PROGRAM "BEGHOLEK GODANG SENI RUPA MALAYSIA"

PERINGKAT SMK BATU KIKIR (MODEL KHAS)

______________________________________________________________

    

TARIKH        : 28 SEPTEMBER 2010


 

HARI            : SELASA


 

TEMPAT        : DEWAN ZA'BA , SMK BATU KIKIR (MODEL KHAS)


 

DIRASMIKAN    OLEH    : Pegawai Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu


 

10.00pagi        : Ketibaan Ibu Bapa dan Penjaga,


 

10.15 pagi         : Ketibaan tetamu-tetamu jemputan


 

11.00 pagi          : Ketibaaan

Tuan Mohd. Sah bin Zainal Abidin

Pegawai Pelajaran Daerah Jempol & Jelebu


 

                : Nyanyian Lagu Negaraku


 

            : Ucapan pengacara majlis


 

: Bacaan Doa


 

: Ucapan alu-aluan

     Tn. Hj. Kamaruddin b. Ibrahim

     Pengetua Cemerlang

     SMK Batu Kikir (Model Khas)


 

: Ucapan Perasmian

Tuan Mohd. Sah bin Zainal Abidin

Pegawai Pelajaran Daerah Jempol & Jelebu


 

                : Penyampaian Hadiah dan Cenderahati

: Lawatan ke Tapak Pameran dan Demonstrasi Seni Rupa

                : Makan Tengahari

Bersurai

Bidang tugas jawatankuasa

BIDANG TUGAS JAWATAN KUASA KERJA

PROGRAM BERSAMA 'BEGHOLEK GODANG SENI RUPA MALAYSIA'

PPD JEMPOL & JELEBU DAN SMK BATU KIKIR (MODEL KHAS)


BIL

AJK

BIDANG TUGAS

CATATAN

Pengerusi / Timbalan Pengerusi/ Naib Pengerusi

  • Penasihat
  • mempengerusikan mesyuarat
  • memastikan program yang dirancang dapat berjalan dengan lancar

Pengetua /

Penolong Kanan Akademik

Penolong Kanan Tingkatan Enam

Penyelaras

Program

  • mengatur mesyuarat dan taklimat
  • menentukan aturcara Majlis Perasmian
  • memastikan program yang dirancang dapat berjalan dengan lancar

Hjh. Habibah bt. Omar

Ketua Bidang Kemanusiaan


Pn. Nazlee bt. Md. Nor

GPK Ko Ko T.6

Setiausaha dan Penolong setiausaha

  • menyediakan kertas kerja program
  • membentuk jawatan kuasa
  • menyediakan surat-menyurat berkaitan program
  • membuat laporan program

Bendahari

  • membuat anggaran perbelanjaan untuk program
  • membuat laporan kewangan

Urusetia

  • menguruskan persediaan bahan dan peralatan
  • memastikan bahan dan peralatan mencukupi sepanjang program
  • membantu J/K Persediaan Tempat dan Hiasan Dewan

Pengacara Majlis

Perasmian

  • Mengacarakan Majlis Perasmian Pembukaan.
  • Memastikan kelancaran Majlis
  • Menyediakan teks ucapan

Pelancaran Perasmian

  • Gimik Majlis Pelancaran


Bacaan Doa


  • Majlis Perasmian


Sambutan

  • Mengalu-alukan ketibaan tetamu

Jamuan

  • Menentukan menu dan belanjawan
  • Memastikan tempat jamuan yang bersih dan ceria

Persiapan Tempat

Dan Hiasan Pentas

  • Membuat persiapan tempat
  • Memastikan pentas dalam keadaan bersih dan teratur
  • Menyediakan meja dan kerusi untuk pameran dan majlis perasmian (seperti dalam pelan)
  • Memastikan kebersihan dan kekemasan Dewan dan Pentas.

Dokumentasi

  • mengambil gambar-gambar untuk dokumentasi.

Backdrop, pas petugas dan Buku Program

  • merancang dan menyediakan backdrop
  • menyediakan buku program
  • pas program

PA Sistem

  • menyediakan LCD, mikrofon dan sebagainya.
  • Menyelia siaraya

Sijil dan Cenderahati

  • menyediakan sijil penghargaan dan penyertaan untuk guru dan peserta


Pameran STPM

  • persiapan pameran
  • bertanggungjawab ke atas bahan pameran
  • menjaga keselamatan bahan


Pameran SPM

  • persiapan pameran
  • bertanggungjawab ke atas bahan pameran
  • menjaga keselamatan bahan sepanjang program

Pertandingan Dan Pameran Bakat Muda

  • menguruskan penyertaan pertandingan
  • persiapan pameran
  • bertanggungjawab ke atas bahan pameran
  • menjaga keselamatan bahan sepanjang program

Pertandingan Dan Pameran Bakat Pendidik

  • menguruskan penyertaan pertandingan
  • persiapan pameran
  • bertanggungjawab ke atas bahan pameran
  • menjaga keselamatan bahan sepanjang program

Teratak Kraftangan Malaysia

  • persiapan pameran
  • bertanggungjawab ke atas bahan pameran
  • menjaga keselamatan bahan sepanjang program
  • demonstrasi

Teratak Persatuan Seni Kreatif

  • persiapan pameran
  • bertanggungjawab ke atas bahan pameran
  • menjaga keselamatan bahan sepanjang program
  • demonstrasi
  • persiapan pameran
  • bertanggungjawab ke atas bahan pameran
  • menjaga keselamatan bahan sepanjang program
  • demonstrasi

Bengkel Melukis Kartun

dan Jualan Majalah

  • Bengkel Melukis Kartun
  • Jualan Majalah Kartun

Pengerusi Majlis

Bicara Seni

  • bertindak sebagai pengerusi majlis
  • mendapatkan biodata-biodata penceramah

Pendaftaran

  • menyediakan borang-borang pendaftaran
  • memastikan peserta membuat pendaftaran

Keselamatan dan Disiplin


  • Memantau pergerakan pelajar
  • Memastikan disiplin pelajar terkawal

Penginapan termasuk makan minum Pelajar UiTM

  • Menyediakan penginapan serta makan &minum pelajar di asrama
  • Memantau disiplin pel

Publisiti dan seranta

  • Hebahan melalui radio
  • Hebahan melalui 'flyers' ke sekolah-sekolah

Sabtu, 27 November 2010

PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL

PENDEKATAN SEJARAH DAN KRITIKAN SENI VISUAL

Oleh

Prof. Madya Dr. Muliyadi Mahamood

Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Shah Alam.


Pendahuluan


  • Seni


Seni adalah suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah. Seni memenuhi keperluan-keperluan naluri estetik dan fizikal manusia yang dipengaruhi oleh faktor-faktor keagamaan, kebudayaan, ruang, masa dan keadaan yang tertentu. Hal ini telah melahirkan kepelbagaian pengertian seni seperti tradisi, moden dan pascamoden, mengikut zaman dan masyarakat yang tertentu. Penghayatan dan penghargaan terhadap seni lazimnya mengambilkira aspek-aspek formal, makna dan konteks penghasilan sesuatu karya. Seni juga mempunyai pelbagai peranan yang bersifat psikologi dan sosiologi.


Secara umum, seni berkaitan dengan hal-hal mengenai keindahan atau estetika yang merangkumi aspek-aspek jasmani dan kerohanian individu mahupun masyarakat. Seni ditakrifkan sebagai suatu ciptaan ataupun ekspresi akan sesuatu yang dianggap indah, terutamanya dalam bentuk visual (Hornby, 1974: 43). Seni juga disifatkan sebagai suatu kegiatan atau proses penciptaan yang memerlukan kemahiran serta pengetahuan untuk melahirkan idea dalam bentuk yang nyata (Martin, 1986: 12). Hauser berpendapat, seni adalah komunikasi (1959). Herbert Read pula menjelaskan bahawa seni adalah penciptaan bentuk-bentuk yang menyenangkan. Seni adalah penjelmaan rasa estetika (1959: 16).



  • Seni Visual


Seni visual merangkumi aspek pengkaryaan yang dihubungkan dengan disiplin seni halus, dan perekaan, yang meliputi bidang-bidang komunikasi visual, reka bentuk teknologi, dan reka bentuk persekitaran. Ringkasnya, ia merangkumi seni lukis dan seni reka. Karya seni visual ialah suatu ekspresi visual akan sesuatu idea ataupun pengalaman yang dibentuk menerusi penggunaan sesuatu bahan ataupun medium dengan menggunakan teknik-teknik yang tertentu. Pengkarya dan pereka lazimnya memilih bahan yang sesuai dengan idea ataupun perasaan yang ingin disampaikannya. Khalayak menikmati karya seni visual apabila bahan yang digunakan pengkarya dengan cara-cara tertentu membolehkan sesuatu objek atau persembahan itu difahami ataupun digunakan mereka.


Karya seni visual yang terbentuk menerusi kombinasi bahan-bahan berbeza disebut bahan campuran ataupun mixed media. Selain daripada fotografi dan filem yang dirintis pada abad kesembilan belas, menjelang pertengahan abad kedua puluh, teknologi moden telah menghasilkan media seni visual yang baru seperti video dan komputer. Sebagai suatu bentuk komunikasi, seni visual menyampaikan pelbagai maksud yang bertolak daripada pemikiran, perasaan, dan pengamatan (Preble, Preble dan Frank, 1999).


Perkembangan budaya dan masyarakat telah banyak mempengaruhi bentuk seni visual, justeru melahirkan beberapa istilah seni yang penting. Sebagai contoh, istilah-istilah seni halus dan seni gunaan telah muncul pada abad ke-18. Seni halus merujuk kepada penghasilan seni yang berasaskan konsep keindahan ataupun estetika, dan merangkumi bentuk-bentuk seni seperti catan, lukisan, arca, cetakan, seni bina, puisi dan muzik (Osborne, 1979: 407), sementara seni gunaan pula merujuk kepada seni berasaskan fungsi seperti produk-produk seni grafik, tekstil, seramik, seni industri, fesyen, fotografi, seni logam halus, seni reka hiasan dalaman, seni landskap, multimedia dan animasi.


Di samping seni halus dan seni gunaan, terdapat juga istilah-istilah seni tradisi, seni keagamaan, seni moden dan seni pascamoden. Seni tradisi lazimnya disifatkan sebagai bentuk-bentuk seni yang diwarisi oleh sesebuah bangsa dengan penampilan ciri-ciri tertentu yang boleh mencerminkan identiti masyarakat tersebut. Sebagai contoh, identiti dalam kesenian tradisi Melayu seperti seni ukir, seni tekstil dan anyaman dapat dihayati menerusi keseragaman motif-motif dan maknanya. Seni keagamaan pula mendukung prinsip-prinsip agama tertentu dan ia berbeza di antara satu dengan yang lain lantaran setiap agama memiliki konsep, tatacara, kaedah dan prinsip yang tersendiri.


Kepelbagaian ruang lingkup seni, sama ada dari segi bentuk, makna, teknik, bahan, dan hubungannya dengan konteks penghasilan, termasuklah pengkarya dan persekitaran, serta penghayatan khalayak terhadapnya menjadi perkara-perkara asas kepada bidang Sejarah Seni Visual. Justeru itu, Sejarah Seni Visual adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji perkembangan tamadun manusia menerusi penelitian terhadap kerja-kerja seni.


  1. Konsep dan Kaedah Sejarah Seni Visual


  1. Maksud Sejarah Seni Visual


Keluasan pengertian dan skop seni visual memungkinkan bidang Sejarah Seni Visual juga muncul sebagai suatu disiplin ilmu mempunyai skop, peranan, dan cabang-cabang yang luas. Sejarah Seni Visual tidak hanya terbatas kepada persoalan atau pengkajian tentang bentuk-bentuk seni, malahan melibatkan apa-apa jua yang berkaitan dengan kerja seni itu sendiri, termasuklah tentang pengkarya: pelukis dan pereka, bentuk, stail atau gaya, proses, teknik, bahan, makna, pemilik, penaung, persepsi, tanggapan, peranan, dan kemungkinan-kemungkinan yang terhasil akibat daripada kewujudan karya seni itu.


Budaya visual yang pelbagai bentuk dan rupa terhasil berlandaskan pelbagai pengalaman yang merentasi ruang dan jarak waktu yang tertentu. Dalam konteks ini, Sejarah Seni Visual pada dasarnya menerokai akan apakah faktor-faktor pencetus terhasilnya karya, akibat atau kesan, peranan, fungsi, nilai, makna, serta persepsi masyarakat terhadap sesuatu karya. Oleh kerana penghasilan karya seni itu turut berhubung dengan bidang-bidang ilmu dan kebudayaan yang luas, justeru itu bidang Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu bidang kajian yang berkait dengan bidang-bidang ilmu dan profesion lain. Sejarah Seni Visual juga dilihat sebagai suatu disiplin kemanusiaan yang menerangkan peranan seni dalam kehidupan manusia (Zakaria Ali, 1989; Muliyadi Mahamood, 1993; Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).


  1. Tujuan Sejarah Seni Visual


Penghayatan terhadap sejarah memungkinkan khalayak mengetahui peristiwa masa lalu sebagai asas untuk memahami situasi masa kini. Jika sejarawan memahami masa lalu dengan mengkaji fakta-fakta peristiwa, sejarawan seni visual pula berusaha untuk memahami masa lalu menerusi karya-karya seni. Dalam konteks ini, karya seni visual menjadi dokumen-dokumen sejarah yang merakamkan akan masa atau era yang menghasilkannya, sementara apresiasi atau penghayatan seni yang menjadi dasar bidang Sejarah Seni Visual bertindak sebagai asas untuk memahaminya. Selain daripada memperjelaskan akan bentuk, makna, dan fungsi sesuatu karya, Sejarah Seni Visual juga melihat akan perubahan-perubahan persepsi, fungsi, mahupun makna yang berlaku ke atas sesuatu karya itu, contohnya dengan mengkaji faktor-faktor yang mewujudkan sesuatu perubahan (Pointon, 1994; Tansey dan Kleiner, 1996).


  1. Kaedah Sejarah Seni Visual


Dalam bidang Sejarah Seni Visual, karya seni merupakan dokumen sejarah atau sumber primer yang penting, sementara apresiasi atau penghayatan seni menjadi asasnya. Kaedah mendekati atau menganalisis karya seni boleh dilakukan dengan mengajukan beberapa soalan asas tentang karya yang sedang dikaji ataupun dihayati.


Misalnya, ia boleh dimulai dengan bertanya apakah objek itu?; untuk siapa ia dibuat?; ia dibuat daripada apa?; bagaimana keadaannya sekarang?; adakah ia satu-satunya objek sedemikian?; apakah maksudnya?; apakah yang cuba disampaikan?; bagaimanakah ia dipersembahkan?; dan siapakah yang menghayatinya?. Atau, ia boleh dimulakan dengan soalan siapakah pembuatnya?; di mana ia sekarang?; bagaimana ia berada di tempatnya kini?; bila ia sampai di tempatnya kini?; siapa yang mendapatkannya?; mengapa?; berapakah harganya?; siapa pemilik asalnya?; siapa yang menghayatinya? (Pointon, 1994: 61). Persoalan-persoalan asas ini menjadi dasar dalam mengenali serta memahami sesebuah karya seni itu dengan lebih dekat dan bermakna. Ini yang ditegaskan oleh Hauser dalam tulisannya, bahawa dalam usaha memahami karya seni, kita tidak terus menerangkannya, tetapi cuba menyesuaikan diri kita dengannya.


Berbicara tentang karya seni, Hauser menulis:


"We do not go straight towards them, but circle around them. Each generation sees them from a different point of view and with a fresh eye; nor is it to be assumed that a later point of view is more apt than an earlier one. Each aspect comes into sight in its own time, which cannot be anticipated or prolonged; and yet its significance is not lost, for the meaning that a work assumes for a later generation is the result of the whole range of previous interpretations." (Hauser, 1959 in Fernie, 2001: 205).


Secara umumnya, pengkajian terhadap karya seni perlu mengambilkira aspek-aspek bentuk (aspek-aspek formal, termasuklah pengolahan karya dan gaya penampilan) dan makna (ikonografi: tersurat dan tersirat). Penelitian terhadap bentuk dan makna ini pula dihubungkan dengan konteks penghasilan sesuatu karya, misalnya aspek-aspek period atau masa: sejarah dan kebudayaan.


(b) Konsep dan Kaedah Kritikan Seni Visual


(i) Pengertian Kritikan Seni Visual


Kritikan seni bermaksud wacana tentang sesuatu karya seni sama ada dalam bentuk lisan ataupun tulisan (Feldman, 1994). Kritikan seni dilakukan daripada pelbagai sudut berasaskan satu sistem atau strategi yang teratur, merangkumi aspek diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan. Kritikan seni penting dalam perkembangan seni visual kerana ia mempengaruhi profesion karyawan, persepsi dan daya apresiasi khalayak, cita rasa dan strategi pengumpul seni, pemilik galeri serta promoter seni. Justeru itu, kritikan seni yang baik boleh dianggap sebagai suatu alat terbaik menentukan arah perkembangan seni pengkarya dan seni visual secara umumnya.


(ii) Tujuan Kritikan Seni Visual


Kritikan seni memainkan peranan penting dalam perkembangan seni visual baik bagi pengkarya mahupun khalayak secara umumnya. Bagi pengkarya, kritikan boleh membantu mereka mempertingkatkan profesion menerusi penambahbaikan dalam proses pengkaryaan dengan mengambil kira reaksi serta maklum balas dari pengkritik mahupun khalayak. Bagi penghayat pula, kritikan seni boleh mempertingkatkan tahap apresiasi serta persepsi mereka terhadap seni visual secara umumnya.


Kritikan seni merangkumi pelbagai persoalan asas dan ruang litup seni visual, seperti bentuk, makna dan konteksnya. Dalam kritikan seni, pengkritik perlu mengambil kira aspek hal benda, komposisi, dan kandungan karya menerusi strategi terancang yang melibatkan aspek diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan. Sesebuah karya kritikan seni boleh terhasil dalam bentuk jurnalistik mahupun ilmiah, diterbitkan serta disebarkan untuk pengetahuan pengkarya dan khalayak.


Dalam kritikan, pengkritik seni menyentuh persoalan-persoalan yang meliputi aspek perasaan, idea, serta pelbagai perkara lain yang diungkapkan pengkarya melalui karyanya, sama ada dalam bentuk catan, lukisan, arca, periklanan, kartun, komik, reka bentuk laman web, poster dan seumpamanya. Pengkritik berperanan sebagai penghubung antara pengkarya dan khalayak menerusi hasil kritikannya yang mengupas kepelbagaian nilai serta makna. Dengan kata lain, pengkritik juga berupaya mengupas serta memperjelaskan nilai-nilai yang tersurat dan tersirat dalam sesebuah karya seni untuk makluman khalayak dan pengkarya itu sendiri. Menurut Feldman (1994), pengkritik mempunyai dua peranan besar, iaitu mengulas organisasi estetik dan pengolahan teknik karya, di samping menyentuh persoalan-persoalan minat serta nilai yang disimbolkan dalam sesebuah karya seni.


Oleh kerana kritikan seni mengulas, menganalisis, menginterpretasi, dan menilai karya seni visual yang juga merupakan objek budaya, maka ia pada dasarnya berhubungan dengan hal ehwal kebudayaan. Dalam konteks ini, kritikan seni sebenarnya turut berperanan dalam menentukan arah perkembangan sesebuah kebudayaan. Karya seni adalah cerminan masyarakat dan budaya yang terungkap melalui pengucapan tatabahasa visual pengkarya. Pengkritik mengupas persoalan-persoalan tersebut, justeru memaklumkan kepada khalayak tentang kedudukan pengkarya dan kebudayaan secara umumnya. Pertimbangan serta penilaian pengkritik boleh dijadikan landasan serta panduan penambahbaikan mahupun penentuan arah seni dan budaya. Dalam konteks ini, tujuan-tujuan kritikan seni adalah untuk membimbing, memberi kefahaman dan penjelasan kepada khalayak mengenai sesuatu karya yang dikupas. Menerusi pertimbangan serta penilaian yang dilakukan, pengkritik berupaya memperjelaskan ataupun menyelesaikan isu-isu berkenaan estetik dan kebudayaan. Justeru itu, kritikan seni pada dasarnya tidak terpisah daripada konteks kebudayaan pengkarya, masyarakat mahupun tamadun.


Kritikan seni boleh mempengaruhi profesion pengkarya kerana ia merupakan suatu bentuk reaksi, maklum balas, pengesahan malahan pengiktirafan terhadap sesuatu produk seni yang dihasilkan. Menerusi maklum balas itu, pengkarya boleh menambahbaik mutu atau gaya karya mereka secara berterusan. Proses penambahbaikan ini boleh menyentuh persoalan idea, konsep, teknik, tema, hal benda, atau gaya persembahan secara umumnya. Hal ini demikian kerana kritikan seni lazimnya menyentuh kepelbagaian aspek itu, berdasarkan kemampuan serta pendekatan yang diambil oleh pengkritik.


Bagi pemilik galeri dan promoter seni, kritikan boleh membantu mereka mempromosi serta menjual karya seseorang pelukis. Ia boleh mewujudkan suatu bentuk komunikasi antara pemilik galeri atau promoter seni dengan pembeli atau khalayak. Kritikan membolehkan pemilik galeri dan promoter seni mengenalpasti bakat-bakat baru di samping terus mempromosikan pelukis-pelukis sedia ada. Meskipun dalam etika kritikan, seseorang pengkritik tidak seharusnya secara langsung bekerjasama dengan pemilik galeri ataupun promoter seni bagi menaikkan seseorang pengkarya ataupun sesuatu produk, tulisannya yang neutral itu boleh mempengaruhi khalayak secara umumnya.


Bagi pengumpul karya seni, kritikan boleh mempertingkatkan nilai sesuatu karya yang mereka miliki. Sesebuah karya seni akan menjadi lebih terkenal jika ia diperkatakan serta dibicarakan secara meluas, justeru itu memungkinkan ia dikenali lebih ramai dan menjadi popular. Kepopularan karya boleh mempertingkatkan nilai komersilnya. Di samping itu, kritikan juga berupaya mengesahkan atau membenarkan persepsi atau tanggapan pengumpul seni terhadap sesuatu karya yang mereka miliki atau berhajat untuk dibeli. Bagi muzium, galeri seni awam dan swasta, serta yayasan kesenian yang mengumpul seni, kritikan seni berupaya memperkayakan dokumentasi serta bahan rujukan koleksi, di samping memberi mereka panduan bagi membeli karya-karya yang baru, baik dan berpotensi.


Penulisan sejarah serta kritikan seni merupakan dokumen-dokumen penting bagi pengkaji dan khalayak untuk mengenali sesebuah karya itu dengan lebih berkesan dan bermakna. Hal ini memungkinkan mereka mempertingkatkan kefahaman, persepsi dan daya apresiasi tentang seni secara umumnya. Menerusi kritikan seni, khalayak boleh memahami dengan lebih lanjut akan sesebuah karya itu, misalnya dari sudut tema, teknik, gaya dan makna. Khalayak memahami aspek bentuk dan makna karya secara tersurat dan tersirat, bukan melihat secara luaran sahaja kerana kritikan seni menampilkan diskripsi, analisis, interpretasi dan pertimbangan yang membolehkan mereka meletakkan seni pada konteks ruang dan masanya.


Bagi sejarawan dan pengkaji seni, kritikan seni boleh membantu usaha mereka meletakkan kedudukan seseorang pengkarya mahupun produk seni itu dalam peta perkembangan seni yang lebih luas. Hal ini menunjukkan bahawa, selain daripada menjadi wadah pendidikan, kritikan seni juga boleh menjadi dokumen-dokumen sejarah yang penting lagi berharga.


(iii) Kaedah Kritikan Seni Visual


  • Pendekatan Kritikan Seni


Secara umumnya, kritikan seni terbahagi kepada dua pendekatan asas, iaitu ilmiah, dan jurnalistik. Pendekatan ilmiah adalah bentuk penulisan yang terperinci lagi sistematik dan lazimnya terbit dalam jurnal, majalah dan buku. Pendekatan ilmiah selalunya disokong oleh fakta serta sumber-sumber rujukan dan kajian lain yang menyokong serta memperkukuhkan sesuatu hujahan. Penulisan seperti ini lazimnya dilakukan oleh sarjana seni, misalnya profesor, kurator muzium, penyelidik, dan penulis. Pendekatan jurnalistik pula berbentuk laporan, penerangan dan penulisan diskriptif yang terbit dalam surat khabar dan majalah, atau disiarkan melalui radio dan televisyen untuk tatapan umum


  • Strategi Kritikan Seni


Kritikan seni amat berkait rapat dengan apresiasi seni yang terbentuk menerusi kefahaman terhadap aspek-aspek asas karya seperti hal benda, komposisi dan kandungan. Kebolehan menangani serta menghuraikan ketiga-tiga aspek ini akan memberi laluan kepada penghasilan kritikan yang lebih bermakna lagi berkesan. Dalam strategi pertama iaitu diskripsi, seseorang pengkritik perlu mengenalpasti ciri-ciri fizikal karya, seperti pengolahan formal dan mengenal pasti imejan. Dia perlu mengumpul data-data asas atau data-data visual karya dan fakta-fakta pengkarya seperti biodata, tajuk, medium, dan tarikh: jelasnya, menyediakan suatu inventori akan perkara-perkara utama itu.


Pada tahap analisis karya, pengkritik perlu menganalisis fakta-fakta visual, contohnya dari sudut pengolahan komposisi, garis, cahaya, bentuk, warna, permukaan, dan jalinan. Ini dihubungkan dengan persoalan proses dan teknik serta mencari pertaliannya dengan persoalan idea dan perasaan misalnya. Menerusi strategi ini, pengkritik seharusnya berupaya mengenal pasti kepelbagaian hal benda dalam karya yang antara lain merangkumi figura, alam semula jadi, alam persekitaran dan objek buatan manusia. Keupayaan mengenal pasti ini seharusnya diiringi dengan kebolehan membaca bentuk penampilan imejan yang mungkin berkaitan dengan pelbagai aliran dan gaya seni, baik yang bersifat tradisi, moden, pascamoden mahupun kontemporari. Pengetahuan ini memungkinkan pengkritik membuat perbandingan serta perhubungan di antara satu karya dengan karya-karya yang lain, ataupun satu gaya dengan gaya-gaya yang lain. Hal ini amat penting bagi membentuk pandangan dan pertimbangan kendiri oleh pengkritik.


Komposisi merangkumi aspek-aspek asas seni reka, media dan teknik. Pengkritik sewajarnya berupaya menganalisis pengolahan komposisi karya dengan memberi tumpuan kepada prinsip dan unsur seni serta memahami kepelbagaian bentuk tatabahasa visual seperti abstrak, realistik, naturalistik, dan separuh abstrak yang digunakan pengkarya bagi mengungkapkan bentuk dan makna karyanya. Pengetahuan pengkritik mengenai penggunaan media dan teknik akan mempertajamkan kritikannya kerana dia berupaya menyelami kaedah-kaedah pembentukan sesebuah karya dengan lebih mendalam.


Berdasarkan analisis hal benda dan komposisi, seseorang pengkritik berupaya melakukan interpretasi iaitu
mengenal pasti kandungan sesebuah karya yang mengungkapkan sesuatu tema, makna, dan fungsi. Dalam hal ini, pengkritik berusaha meletakkan bentuk dan makna karya pada konteksnya. Rangkuman ketiga-tiga proses mengenal pasti dan menghuraikan aspek-aspek asas ini memungkinkan pengkritik membuat pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya.


Kritikan seni memerlukan daya kefahaman individu yang baik terhadap pelbagai aspek karya seni visual yang dibicarakan. Justeru itu, untuk menjadi seorang pengkritik yang baik, seseorang individu itu sewajarnya mempunyai pendidikan formal dalam bidang seni serta berpengetahuan luas. Dia seharusnya berupaya berkomunikasi dengan baik dan jelas, sama ada secara lisan ataupun tulisan. Dia juga sewajarnya bersifat terbuka, bersedia untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan khalayak, serta mempunyai kejelasan pemikiran dan ekspresi. Aspek-aspek ini amat perlu bagi seseorang pengkritik dalam menghasilkan pertimbangan dan penilaian yang berbentuk "formalisme, ekspresivisme, mahupun instrumentalisme" (Feldman, 1994). Pertimbangan dari sudut formalisme adalah pertimbangan berasaskan aspek-aspek keindahan dan harmoni; ekspresivisme ialah pertimbangan berdasarkan keupayaan menyampaikan perasaan dan idea; sementara instrumentalisme bermaksud pertimbangan berdasarkan keberkesanan karya sebagai suatu wadah atau alat, contohnya dalam konteks sesuatu institusi, masyarakat dan negara.


Rujukan

Bender, J.W. and Blocker, H.G., 1993. Contemporary Philosophy of Art. New Jersey: Prentice-Hall.

Gaitskell, C.D. dan Al Hurwitz, 1970. Children and Their Art. New York: Harcourt Brace and World Inc.

Hauser, A., 1959. The Philosophy of Art History. New York: Alfred A. Knopf.

Hauser, A., 1959. The Philosophy of Art History
dalam Eric Fernie, 2001. Art History and Its Methods. New York: Phaidon Press Limited.

Hornby, A.S., 1974. Oxford Advanced Learner's Dictionary of Current English. Oxford University Press.

http://www.newcastle.edu.au/discipline/fine-art/theory/analysis/panofsky.htm

Lester, P. M., 2000. Visual Communication: Images with Messages. Wadsworth Thomson Learning.

Martin, J., 1986. Longman Dictionary of Art. Longman.

Mbiyo Saleh, 1987. Estetika. Jakarta: Yayasan Umbi.

Muliyadi Mahamood, 1993. Mendekati Seni Lukis dan Seni Reka. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Muliyadi Mahamood, 2000. Sejarah Seni: Zaman Pertengahan hingga Abad ke 20. Kuala Lumpur: Univision Press.

Muliyadi Mahamood, 2001. Seni Lukis Moden Malaysia: Era Perintis hingga Era Pluralis. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Muliyadi Mahamood, 2004. The History of Malay Editorial Cartoons (1930s-1993). Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn Bhd.

Ocvirk, O. G., Stinson, R. E., Wigg, P. R., Bone, R. O., and Cayton, D. L., 1998. Art Fundamentals: Theory and Practice. McGraw-Hill.

Osborne, H., 1979. The Oxford Companion to Art. Oxford University Press.

Pointon, M., 1994. History of Art. London and New York: Routledge.

Preble, D., Preble, S. and Frank, P., 1999. Art Forms. New York: Longman.

Read, H., 1959. The Meaning of Art. Penguin Books.

Rupa dan Jiwa. Katalog Pameran Rupa dan Jiwa: Kesinambungan Tradisi Dalam Seni Rupa Malaysia Sezaman. Kuala Lumpur: Balai Seni Lukis Negara, 15 Jun-2 Julai, 1993.

S.H. Nasr, 1989. Falsafah Kesusasteraan dan Seni Halus. Terjemahan Baharudin Ahmad. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sidi Gazalba, 1977. Pandangan Islam tentang Kesenian. Kuala Lumpur: Pustaka Antara.

Syed Ahmad Jamal, 1992. Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan bahasa dan Pustaka.

Smagula, H., 1991. Re-Visions: New Perspectives of Art Criticism. New Jersey: Prentice Hall.

Stern, A., 1973. "The Child's Language of Art" dalam In Child Art: The Beginnings of Self-Affirmation. Edited by Milda Present Lewis. Berkeley: Diable Press Inc.

Tansey, R. G. dan Kleiner, F. S., 1996. Gardner's Art Through the Ages. New York: Harcourt Brace College Publishers.

Zakaria Ali, 1989. Seni dan Seniman: Esei-esei Seni Halus. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.