Ahad, 4 Julai 2010

Contoh Karya Tema Kesantunan bercirikan Budaya Malaysia.

'Love me in my Batik'
Joseph Tan

Soalan 2 Projek Penghasilan sebuah Karya Seni Visual STPM merupakan soalan yang meminta anda menghasilkan sebuah KARYA SENI. Walaupun di dalam soalan tersebut meminta anda menggunakan teknik batik atau tenunan, cabarannya adalah anda perlu pastikan karya tersebut tidak akan dikategorikan sebagai KRAF Batik atau Tenunan!

Perkara kedua yang perlu diberi perhatian adalah anda boleh hasilkan dalam bentuk 2D (lukisan, catan, cetakan) atau 3D (arca). Justeru, cikgu rasa anda perlu membuat kajian mendalam mengenai bidang karya yang akan anda hasilkan. Contohnya, jika anda ingin hasilkan karya dalam bentuk 3Dimensi (arca), anda buat kajian jenis-jenis arca serta bahan dan teknik yang digunakan.

Berdasarkan contoh-contoh karya di bawah, cikgu harap, anda jelas bagaimana hendak menghasilkan KARYA SENI.

'A Mak Yong Performance'

Ismail Mat Hussein


Karya 'A Mak Yong Performance' oleh Ismail Mat Hussein merakamkan persembahan oleh kumpulan penari-penari mak yong. Mak Yong merupakan satu bentuk persembahan tradisional maka ia berkait dengan budaya di Malaysia. Karya catan ini menggunakan teknik batik.






Dua karya di atas menggunakan motif figura manusia sebagai 'subject matter' karya masing-masing. Motif tidak semestinya flora dan fauna sahaja. Bagaimanapun, tidak salah jika kita jadikan flora dan fauna sebagai subjek. Contohnya, pada permainan tradisional wau (kebudayaan) terdapat motif flora dan fauna. Binaan rumah melayu dengan ukiran bermotif flora dan fauna juga termasuk warisan budaya kita.


Motif-motif flora dan fauna perlu ada lakaran olahan perkembangan idea supaya jelas anda tidak mengambil motif-motif dari corak sedia ada.


Cikgu tertarik dengan karya oleh Joseph Tan bertajuk 'love me in my batik' yang cikgu saksikan ketika melawat pameran di Balai Senilukis Negara baru-baru ini. Pameran tersebut bertemakan ABC bermaksud Antara Bahan Campuran. Karya-karya oleh pelukis2 'otai' negara yang menggunakan media campuran dalam karya dipamerkan semula. Antaranya karya Ruzaika Omar Basaree, Sulaiman Esa dan ramai lagi. Bangga juga kerana mereka ini merupakan mantan pensyarah-pensyarah cikgu semasa di UiTM dulu.

Berbalik pada karya Love me in my Batik, iaitu gambar yang mula-mula sekali cikgu tunjukkan di atas, karya tesebut menggunakan teknik kolaj. Walaupun anda tidak dibenarkan kolaj kain batik sedia ada, sebenarnya anda boleh guna teknik kolaj untuk tampal hasil eksperimen teknik dan motif batik anda pada karya.

Seharusnya anda banyak membuat eksperiman teknik2 batik yang pelbagai itu ke atas pelbagai bahan selain daripada kain. Teknik batik pula tidak semestinya guna canting. Boleh sapukan lilin dengan guna sapuan berus, atau cuba tekapkan lilin guna daun getah yang telah dikeringkan (yang buat kelopak bunga tu) dan lain-lain lagi. Eksperimen tersebut perlu masukkan dalam folio di bawah kajian media dan teknik.

Sebelum berundur pada kali ini, sebenarnya cikgu fikir banyak kali nak bagi contoh karya Joseph Tan tu sebab karyanya agak 'tidak bersantun'. Jangan pula anda hasilkan tema sebegitu kerana ia juga tidak berkait dengan budaya kita, kecuali kain batik.